MELANCONG lebih selesa dengan Honda HR-V.
TREE Top Walk Sungai Sedim menjadi tumpuan pelancong.
JAM Merdeka mercu tanda Kulim.
SUNGAI Parit Bunian Eco Park taman rekreasi menarik di KHTP.


Terletak di selatan Kedah, daerah Kulim berkeluasan 764 kilometer persegi tidak sahaja dikenali sebagai kawasan industri berteknologi tinggi, malah beberapa lokasi menarik yang menjadi tarikan pelancongan.

Nama Kulim berasal daripada pokok dipanggil Kulim atau nama saintifik ‘Scorocarpus Borneensis Becc’ dan daerah itu dipercayai diteroka dan dibuka pada pertengahan abad ke-18 oleh sekumpulan orang Melayu Pattani sekali gus menjadi tumpuan berikutan penemuan bijih timah.

Sejak itu, daerah Kulim terus maju dan dibangunkan dengan kawasan perindustrian sehingga mewujudkan Taman Perindustrian Teknologi Tinggi (KHTP) bagi menempatkan pelbagai syarikat ternama produk berteknologi tinggi.

Kedatangan pengunjung ke daerah itu pasti tidak sia-sia kerana mempunyai beberapa kawasan tarikan pelancong antaranya Tree Top Walk yang terletak di Sungai Sedim iaitu jambatan gantung besi sepanjang 950 meter pada ketinggian 50 meter dari tanah dianggap titian kanopi terpanjang di dunia.

Sepanjang menyusuri jambatan berkenaan, pengunjung dapat menikmati pemandangan indah hutan semula jadi serta flora dan fauna.

Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak dan mencabar, arus deras Sungai Sedim pasti menjadi pilihan kerana keunikan jeram sungai menjanjikan keseronokan, selain itu bagi mereka yang ingin beriadah, Sungai Parit Bunian Eco Park di KHTP, Lata Hijau, Lata Bayu, Lata Ulu Paip sentiasa menanti pengunjung.

Wartawan VROOM yang berada di Kulim sempena penganjuran Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix 2016 Sirkit 1, baru-baru ini berpeluang menjelajah beberapa kawasan menarik dengan kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda HR-V bagi merasai pengalaman sebenar lokasi berkenaan.

Lokasi pertama dijelajahi bersama Honda HR-V ialah sekitar KHTP bagi melihat pelbagai kilang berteknologi tinggi sebelum singgah di taman rekreasi Sungai Parit Bunian Eco Park yang terletak di kawasan KHTP.

Pelbagai kemudahan rekreasi dan bersukan disediakan kepada pengunjung yang tidak sahaja boleh melakukan pebagai aktiviti bersama keluarga, malah boleh menikmati pemandangan yang indah cantik serta bersih.

Honda HR-V kemudian dipacu ke bandar Kulim bagi melihat Jam Merdeka berdiri megah sebagai mercu tanda daerah itu, selain itu beberapa bangunan warisan seperti Sekolah Menengah Sultan Badlishah yang dibina pada 1948 dan Balai Polis Kulim yang masih teguh berdiri.

Kami kemudian bergerak pulang ke Kulim Golf Resort, sebelum Honda HR-V dipandu meluncur laju ke arah Karangan untuk ke Sungai Sedim yang mempunyai jambatan gantung besi terpanjang.

Wartawan juga mengambil peluang menyusuri Tree Top Walk berhampiran Hutan Simpan Gunung Inas dan menikmati keindahan alam flora serta kehijauan hutan semula jadi.

Sebelum bergerak pulang, wartawan sempat meninjau keindahan Sungai Sedim dan arus deras sungai yang menjadi lokasi aktiviti lasak bagi peminat sukan air dari dalam dan luar negara.

Bagi mereka yang ingin ke Sungai Sedim, sama ada dari arah selatan atau utara boleh mengikut Lebuhraya Utara-Selatan sebelum keluar di Seberang Jaya dengan menyusuri Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan menuju ke KHTP sebelum ke Pekan Karangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:08 AM