SYAZRIN (tengah) bersama piala yang dimenangi.
Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Pelumba BMX Terengganu Ahmad Syazrin Awang Ilah meneruskan kecemerlangan musim ini apabila muncul juara kebangsaan semalam sekali gus mengulangi pencapaian meraih emas di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak.

Ahmad Syazrin yang berusia 19 tahun mengetepikan rakan sepasukan, Ibnu Hasyimie Omar, manakala pelumba BMX kebangsaan, Elmi Jumari dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) meraih gangsa.

Menurut Ahmad Syazrin, dia berasa sangat bersyukur kerana akhirnya berjaya menyarung jersi juara kebangsaan walaupun hampir berbuat demikian tahun lalu.

“Tahun lalu saya muncul juara kategori elit namun umur saya masih dalam kategori remaja, walaupun menang perlumbaan tahun lalu tapi tidak dapat menyarung jersi juara kebangsaan,” katanya semalam.

Dalam aksi tahun lalu Ahmad Syazrin dibenarkan beraksi saingan elit selepas terjatuh ketika berlumba bagi kategori remaja.

“Saya juga tidak jangka dapat muncul juara kerana perlu bersaingan dengan pelumba kebangsaan (Elmi) dan rakan sepasukan (Ibnu Hasyimie),” katanya yang akan berguru di Pusat Berbasikal Dunia (WCC) di Switzerland Oktober ini sebagai persediaan menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur tahun depan.

Dalam saingan ujian masa kelmarin, Elmi berjaya muncul juara, manakala tempat kedua diraih Ahmad Syazrin dan Ibnu Hasyimie membawa pulang gangsa.

Terengganu juga mengungguli kategori wanita apabila emas diraih Noor Quraataina Mamat, manakala perak milik pelumba Sarawak, Ariana Nurminda Arifin dan gangsa Aidilina Adilla J Sam dari Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:12 AM