DUTERTE (kanan) memeriksa mayat mangsa di sebuah hospital di Davao. - EPA
PAKAR bom dan forensik mengumpulkan bukti di tempat kejadian. - EPA
PETUGAS penyelamat mengumpulkan beg mengandungi mayat mangsa. - AFP
Agensi

Davao: Presiden Rodrigo Duterte semalam mengisytiharkan ‘keadaan huru-hara’ di seluruh negara selepas bom yang disyaki diletupkan pengganas Abu Sayyaf menyebabkan 14 orang terbunuh dan 70 lagi cedera di bandar di selatan Filipina ini.

Duterte yang melawat tempat kejadian selepas serangan malam kelmarin di pusat bandar Davao berkata, perisytiharan itu tidak membabitkan pelaksanaan undang-undang tentera.

Ia bagaimanapun membolehkan tentera dikerah di pusat bandar untuk membantu polis mengadakan sekatan jalan raya dan meningkatkan rondaan.

Jurucakap Abu Sayyaf, Abu Rami mendakwa bertanggungjawab terhadap letupan berhampiran Universiti Ateneo de Davao University dan sebuah hotel lima bintang.

Duterte adalah Datuk Bandar Davao selama beberapa tahun sebelum terpilih menjadi Presiden Filipina pada Jun lalu.

Serangan itu berlaku ketika tentera Filipina dikerah berada dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kempen ketenteraan terhadap Abu Sayyaf di Sulu yang ditingkatkan minggu lalu berikutan tindakan kumpulan itu memenggal seorang penduduk kampung yang mereka culik.

Abu Rami ialah menantu Mohammad Said atau Amah Maas, ketua berpengaruh dalam Abu Sayyaf yang terbunuh dalam pertempuran di Sulu baru-baru ini.

Naib Datuk Bandar Davao, Paulo Duterte, anak presiden Filipina itu berkata, kumpulan Daish juga mengancam bandar raya berkenaan.

Setiausaha Komunikasi, Martin Andanar berkata, bom itu dipercayai dibuat daripada peluru mortar.

Seorang tukang urut, Armando Morales, 50, berkata, letupan itu menyebabkan dia tercampak daripada kerusinya.

Bom itu mengeluarkan asap, tetapi tidak menyebabkan bebola api yang mungkin boleh menyebabkan lebih ramai mangsa terbunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 5:16 AM