Oleh Suzaini Sulaiman

Sabak Bernam: Sepasang suami isteri maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka merempuh bahagian tepi treler membawa muatan padi di Kilometer 63, Jalan Teluk Intan-Klang berdekatan Pasir Panjang, di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 11 malam itu, mangsa Barmin Bakri, 57, maut di tempat kejadian manakala isteri Siti Ngainon Jariah Yasin, 51, disahkan meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang ketika menerima rawatan.

Kemalangan itu juga menyebabkan anak perempuan pasangan itu, Anisah Syafiqah Barmin, 20, mengalamai kecederaan parah dan kini sedang menerima rawatan lanjut di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Azmi Mohd Isa berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila Barmin merempuh treler berkenaan ketika mahu keluar dari simpang tempat kejadian tanpa memastikan tiada kenderaan lain terlebih dulu.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun tidak menyedari kehadiran treler berkenaan sebelum merempuh tepi sebelah kanan kenderaan berat itu sehingga menyebabkan kenderaan yang dipandunya terperosok di bawah treler.

"Polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu treler yang berusia 29 tahun itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 2:46 PM