Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Sekumpulan lelaki gagal melarikan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak di Bukit Jelutong, pagi tadi.

Kejadian 4.30 pagi itu berlaku selepas suspek yang memandu lori satu tan merempuh cermin stesen minyak berkenaan dalam usaha untuk melarikan mesin ATM yang terdapat dalam premis itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Superintendan Ruslan Abdullah berkata, suspek bagaimanapun gagal melarikan mesin ATM berkenaan selepas menyedari kehadiran pelanggan yang mahu mengisi minyak di stesen minyak itu.

"Suspek yang menaiki lori merempuh cermin stesen minyak itu namun beberapa minit kemudian, terdapat seorang penunggang motosikal datang untuk mengisi minyak menyebabkan suspek terus melarikan diri.

"Ketika kejadian terdapat dua pekerja Bangladesh di premis itu dan menyembunyikan diri kerana bimbang dicederakan suspek dan tiada kehilangan wang yang dilaporkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Disember 2014 @ 3:12 PM