Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Belum ada rezeki! Mungkin itu paling tepat menggambarkan nasib yang dihadapi pelumba PETRONAS Raceline Malaysia Hafizh Syahrin Abdullah (gambar) apabila sekali lagi terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada saingan Moto2 Grand Prix (GP) British semalam.

Dilihat mempunyai kemampuan untuk menaiki podium selepas bermula di petak kelima sekali gus yang terbaik pada musim ini, Hafizh bagaimanapun masih belum mempunyai tuah dan terpaksa berpuas hati dengan penamat keempat.

Pelumba negara berusia 22 tahun itu mempamer tunggangan konsisten dan sering mengancam kedudukan tiga pelumba di depannya terutama Takaagi Nakagami (Idemitsu Honda Team Asia) dalam perebutan untuk meraih sekurang-kurangnya podium ketiga.

Dia dilihat cuba memotong Nakagami pada dua selekoh terakhir tetapi pelumba Jepun itu dapat menutup ruang dan akhirnya melepasi garisan penamat dengan podium ketiga.

Penamat keempat yang diraih semalam menyamai pencapaian di GP Qatar dan Catalunya sekali gus penamat terbaiknya juga pada musim ini.

Namun dengan 13 mata berharga yang diraihnya semalam, Hafizh berada di kedudukan kelapan keseluruhan pelumba Moto2 dengan mengumpul 92 mata.

Perlumbaan semalam dimenangi oleh pelumba Garage Plus Interwetten Thomas Luthi dengan catatan masa 38 minit 49.473 saat sementara Franco Morbidelli (Estrella Galicia Marc VDS) di tempat kedua ketinggalan 0.0856s.

Nakagami dan Hafizh masing-masing hanya ketinggalan 1.179s dan 1.359s di belakang Luthi.

Sementara itu, dua pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi dari Honda Team Asia dan pelumba SIC Racing Team Adam Norrodin gagal meraih sebarang mata.

Khairul sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-23 sementara Adam ke-24.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 12:39 PM