X
Oleh Siti Zarinah Sahib

Seni sama ada diterjemahkan menerusi muzik mahupun lukisan adalah terapi terbaik bagi mengurangkan tekanan. Bagi dewasa atau kanak-kanak melukis mampu memberikan idea seterusnya meningkatkan keyakinan diri mereka.

Menyedari nilai positif yang boleh diambil menerusi penghasilan karya seni, Nippon Paint me­nganjurkan pameran seni kanak-kanak bertemakan Warna-Warni Impian sebagai lanjutan kepada program tanggungjawab sosial korporatnya.

Acara ini julung kali diadakan bagi mengumpul dana permulaan untuk pendidikan kanak-kanak sehingga mereka dapat menyara hidup sendiri. Lebih 180 karya seni asli yang dihasilkan kanak-kanak dari Rumah Juara, Rumah Kasih Harmoni dan Yayasan Gurpuri dipamerkan di pusat beli-belah Avenue K pada 10 hingga 15 Disember lalu.

Lukisan ini kemudian dipamerkan kepada penaja korporat dalam majlis pratonton eksklusif dalam usaha mengutip sekurang-kurangnya RM360,000 manakala karya seni terpilih akan dipamerkan di hospital rakan kongsi kempen bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria dan berwarna-warni ketika pesakit menjalani rawatan dan pemulihan.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint (M) Sdn Bhd Gladys Goh, pe­ngalaman melukis memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak yang keba­nyakannya mempunyai perasaan kurang keyakinan diri dan mengalami kesukaran untuk meluahkan perasaan dengan cara yang lebih bermakna.

"Melalui pameran ini mereka dapat merasakan nilai harga diri apabila hasil seni mereka dihargai di samping kesan terapeutik dalam menghasilkan karya. Selaras wawasan Mencipta Keceriaan Hari Ini, Demi Impian Hari Esok, dana yang diterima boleh membantu mereka membina cita-cita masing-masing. Selain itu, sumbangan ini juga akan menjadi bantuan kewangan apabila tiba masa mereka hidup berdikari," katanya.

Kanak-kanak mencoretkan pelbagai tema dan emosi dalam lukisan mereka, daripada paparan kehidupan setempat dan budaya popular merangkumi watak animasi kegemaran mereka sehingga kepada pasukan bola sepak dan Menara Berkembar Petronas.

Bahkan sekumpulan kanak-kanak kecil dari Rumah Kasih Harmoni menghasilkan terjemahan sendiri berdasarkan karya pelukis tempatan Lim Anuar berjudul Stealing Fish, sementara beberapa kanak-kanak dari Rumah Juara memilih untuk memperingati tragedi MH370 dalam lukisan mereka. Seorang pelukis muda dari Yayasan Gurpuri pula meluahkan impian dan aspirasinya untuk menjadi penyanyi.

Kanak-kanak ini juga berpeluang melawat pameran untuk melihat hasil karya sendiri serta rumah kebajikan lain yang dipamerkan di situ. Bagi kebanyakan mereka, ini adalah kali pertama mereka mengunjungi pameran seni, oleh itu ia pengalaman istimewa memandangkan mereka dapat melihat hasil usaha mereka dibeli pe­ngunjung.

Menerusi inisiatif Pameran Warna-warni ini diharap dapat memberikan inspirasi dan semangat untuk terus membantu masyarakat, di samping menanamkan rasa minat untuk belajar dan memberikan lebih banyak peluang kepada kanak-kanak mencapai impian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM