Oleh Michelle Gun


Selepas kejayaan muzikal Seussical Jr tahun lalu, Enfiniti Acade­my kembali menceriakan musim cuti sekolah dengan pementasan Seussical The Broadway Musical.

Membuka tirainya pada Jumaat lalu, muzikal itu dipentaskan PJ Live Arts sehingga Ahad ini.

Ia diilhamkan oleh Eric Idle, pemenang Tony Awards Lynn Ahrens serta Stephen Flaherty.

Diadaptasikan daripada buku cerita popular kanak-kanak Dr Seuss, muzikal itu menampilkan sebanyak 10 persembahan.

Ia menampilkan watak kegemaran peminat Dr Seuss seperti The Cat In The Hat, Horton The Elephant, Gertrude McFuzz, Mayzie La Bird, The Grinch dan The Whos.

Sesuai ditonton semua peringkat usia, muzikal dipimpin pengarah muzik handal Llewellyn Marsh itu mengetengahkan nilai kekeluargaan, persahabatan dan kemasyarakatan.

Pementasan dimeriahkan lagi dengan kehadiran pe­ngarah dan koreografer antarabangsa Michael Taman Masterson yang pernah berlakon dalam muzikal Les Miserables dan Phantom of the Opera di Broadway.

Mengulas mengenai Seussical The Broadway Musical, Produser Eksekutifnya, Puan Sri Tiara Jacquelina Eu Abdullah berkata, pementasan muzikal Seussical yang pertama kali dianjurkan tahun lalu mendapat sambutan memberangsangkan.

"Penonton terdiri daripada golongan dewasa serta kanak-kanak dan mereka pecah perut menyaksikan gelagat lucu setiap watak di pentas. Malah, penonton turut bertepuk tangan apabila lagu menarik dimainkan," katanya.

Tiara yang juga pengasas Enfiniti Academy berkata, buku Dr Seuss membawa pembaca menyelami dunia fantasi berdasarkan imaginasi sendiri.

"Di Enfiniti Academy, kami percaya kreativiti, imaginasi serta kepercayaan diri mempengaruhi generasi seterusnya menjadi pemimpin.

"Kami berharap muzikal ini mempertingkatkan daya imaginasi penonton cilik," katanya.

Menurutnya, selain menerbitkan muzikal berkualiti, akademi itu berhasrat untuk menghasilkan produksi karya yang bermutu.

"Tahun ini, kami sudah menubuhkan barisan profesional muzikal Broadway untuk melantik pelakon profesional serta pengambilan pelajar. Pelajar yang menyertai akademi ini berpeluang menimba pelbagai pengalaman dalam teater muzikal.

"Bagi pelakon pula, mereka boleh berkongsi pengalaman serta memberi bimbi­ngan kepada pelakon baru," katanya.

Sementara itu, Pengarah Seussical The Broadway Musical, Joanna Bessey berharap pihak sekolah termasuk prasekolah akan membawa murid menyaksikan pemetasan muzikal itu.

"Selain itu, kami juga mengalu-alukan kakitangan korporat datang bersama keluarga mereka," katanya yang juga Pengarah Kursus Enfiniti Academy.

Katanya, pementasan muzikal Seussical The Broadway Musical menampilkan persembahan dua pelajar akademi itu yang berusia 10 tahun iaitu Dheena Menon dan Joel Timothy.

"Mereka memegang watak sebagai Jojo, anak Mayor Whoville, yang memiliki daya imaginasi luar biasa," katanya.

Seussical The Broadway Musical dijayakan barisan pelakon antaranya, Safia Hanifah, Ruzana Ibrahim, Zalina Lee, Badrika Baluch Bahadur dan Badrish Isdin Bahadur yang juga adalah guru Enfiniti Academy.

Mereka pernah terbabit dalam beberapa pementasan muzikal lain seperti Puteri Gunung Ledang , P Ramlee The Musical dan The Secret Life of Nora.

Muzikal Seussical The Broadway Musical mengisahkan gajah bernama Horton dan sekumpulan mikroskopik yang menggelarkan diri sebagai Whos.

Gajah itu secara kebetulan menemui Whos yang menjadikan segumpalan debu sebagai tempat tinggal mereka.

Penduduk Whos, Jojo perlu mencari jalan untuk menyelamatkan bangsanya daripada ancaman.

Pada masa sama, Horton berdepan cabaran apabila diamanahkan untuk menjaga sebiji telur yang ditinggalkan burung Mayzie La Bird.

Harga tiket menyaksikan pementasan muzikal Seussical The Broadway Musical bermula dari RM33 hingga RM13 dan boleh dibeli menerusi laman www.tix.my.

Tiket juga boleh didapati di Box Office PJ Live Arts, Jalan Universiti, Petaling Jaya atau menghubungi talian 03-7960 0439/ 017-228 9849.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM