Oleh Alias Abd Rani

Petra Jaya: "Inilah 'misi' MBBF (Persekutuan Bina Badan Malaysia) iaitu melupakan jasa bekas atlet. Saya salah seorang mangsa, tapi berjaya menyelamatkan diri," kata bekas juara bina badan Asia enam kali, Datuk Malek Noor yang berang selepas tiada wakil badan induk itu menghadiri majlis pengebumian Bujang Taha, 77, semalam.

Bukan itu saja, Malek yang kini ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) turut mempersoal sifat kemanusiaan MBBF yang tidak sensitif apabila tidak menghantar wakil untuk memberi penghormatan terakhir kepada arwah.

"Inikah (sikap) MBBF? Mana wakil dia orang? Kita sesama manusia perlu ada simpati. Saya berani katakan MBBF kini meminggirkan bekas atlet.

"Saya salah seorang daripada mereka, tapi bersyukur kerana dapat meneruskan karier dalam bidang lain," katanya selepas menghadiri majlis pengebumian Bujang di Tanah Perkuburan Islam Samariang, semalam.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada jam 10.47 malam kelmarin, selepas menghidap kanser mulut dan paru-paru.

Bujang yang menyandang gelaran Mr Asia empat kali pada 1980, 1982, 1983 dan 1986, selain pernah bertanding pada kejohanan Mr Universe di Belgium pada 1982, meninggal dunia selepas dimasukkan ke wad HUS sejak minggu lalu.

Menurut Malek, apa yang beliau persoalkan tindakan MBBF mengabaikan kebajikan arwah Bujang sebaik bersara daripada sukan itu.

"Tiada seorangpun wakil dari MBBF bertanya khabar arwah, beliau bekas atlet negara dan bukan calang-calang orang.

"MBBF sepatutnya bertanggungjawab menjenguk mana-mana bekas atlet terutama membabitkan sukan bina badan," katanya sambil menjelaskan YAKEB menghulurkan bantuan RM11,000 kepada balu Bujang, Norsanah Harun, 80.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:06 AM