TERTUDUH (kiri) diiringi anggota SPRM untuk dihadapkan ke Mahkamah Seksyen Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Anggota polis berpangkat Sarjan dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu.

Rijali Solah, 55, didakwa menyalahgunakan kuasa meminta suapan bagi membantu menukar keputusan ujian air kencing suspek yang ditahan bersangkut kes dadah di Guar Chempedak.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Mengikut kertas pertuduhan Rijali yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Yan didakwa menerima suapan sebanyak RM700 daripada Mohd Hizzam Hussin, 38, bagi membantu menukar keputusan ujian air kencing pada 12 Mei 2014 jam 2.10 petang di Restoran Kak Chaq Ikan Bakar bersebelahan Stesen Minyak Petronas Gurun.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dhukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM A Hafiizh Abu Bakar manakala tertuduh diwakiliS Raman.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 26 September ini sebagai tarikh sebutan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 September 2016 @ 6:07 PM