WEE WERN (kanan) kembali temui rentak kemenangan.

Kuala Lumpur: Pilihan pertama kejohanan Low Wee Wern tidak berdepan masalah untuk menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Universiti Dunia (WUSC) selepas menewaskan lawan dari China Li Dongjin dalam aksi straight set.

Wee Wern hanya memerlukan 26 minit untuk menundukkan Dongjin 11-6, 11-5, 11-9 dan akan bertemu rakan senegara Nazihah Hanis Abdul Razak di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Bagi Wee Wern dia menganggap kejohanan itu sebagai pentas terbaik baginya mendapatkan kembali keyakinan dalam permainan selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut.

Selepas sering kali tewas pada pusingan awal kejohanan utama, kejohanan WUSC dapat membantu atlet kelahiran Pulau Pinang itu menemui kembali rentak permainan dan kemenangan yang diperoleh juga dapat membantunya terus konsisten.

“Aksi di suku akhir bermula dengan baik dan pengalaman saya banyak membantu untuk meraih kemenangan mudah.

“Kejohanan ini memberi peluang kepada saya untuk mencatat kemenangan setiap hari dan ia membantu saya mendapatkan semula keyakinan dalam permainan saya,” katanya.

Nazihah menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan lawan dari Korea Selatan, Eum Hwa Yeong 11-8, 11-6, 11-7 selepas bertarung selama 39 minit.

Sementara itu dalam aksi lelaki Yuen Chee Wern menjadi wakil tunggal negara menempah tiket ke separuh akhir apabila menang 11-7, 11-1, 11-8 ke atas Ho Wai Yeung dari Hong Kong. Chee Wern akan bertemu Joshua Masters dari Britain pada separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 7:13 AM