MAYAT mangsa ditemui terapung di tali air di hadapan rumah datuknya. FOTO ihsan Polis
MAYAT mangsa ditemui terapung di tali air di hadapan rumah datuknya. FOTO ihsan Polis
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Mayat kanak-kanak ditemui terapung di tali air di hadapan rumah datuknya di Kampung Parit Mustafa,Parit Sulong,di sini, semalam.

Dalam kejadian 3 petang itu,mayat Adam Amin Jefri,2, ditemui penduduk kampung di tali air kira-kira 60 meter dari rumah datuknya itu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa,berkata mangsa disahkan meninggal dunia selepas dikejarkan ke Klinik Kesihatan Parit Sulong.

Menurutnya, tiga jam sebelum kejadian, kanak-kanak berkenaan menemani datuknya memetik rambutan di sebelah tali air berkenaan.

"Namun pada 12.30 tengah hari datuknya kembali semula ke rumah untuk berehat dan tertidur. Malah dia tidak menyedari cucunya ketika itu tidak pulang ke rumah bersamanya.

"Tiga jam kemudian datuknya dikejutkan penduduk kampung yang menjumpai cucunya terapung di tali air sedalam kira-kira 0.9 meter, " katanya.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat terhadap jenazah kanak-kanak berkenaan akan dijalankan pagi ini di Hospital Sultanah Nora Ismail,di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 10:07 AM