SELAMI sejarah Kesultanan Selangor di Muzium Insitu Jugra.
PEMANDANGAN menghijau sekitar Jugra yang boleh dilihat dari atas Bukit Jugra.
MUZIUM Insitu Jugra tawar pelbagai tinggalan sejarah yang menakjubkan.
ISTANA Alaeddin atau Istana Bandar punya seni bina unik yang tersendiri.
Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my


Angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa menyapa sebaik tiba cukup mendamaikan. Pemandangan landskap menghijau, sungai dan Selat Melaka luas terbentang bagaikan memberi ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Matahari yang terik ketika itu bagai memancarkan sinaran penuh dramatik sekali gus menjadikan pemandangan disajikan cukup memukau.

Itulah yang dirasai saat berpeluang meluangkan sedikit masa beristirahat dan menikmati keindahan alam semula jadi di atas Bukit Jugra, antara destinasi pelancongan cukup memukau dan juga popular dengan aktiviti paragliding.

Kesempatan ke Jugra baru-baru ini nyata memberikan sesuatu kelainan dan sesuai untuk anda yang sedang mencari destinasi menarik untuk dikunjungi tatkala cuti.

Jugra yang terletak di daerah Kuala Langat, Selangor mempunyai tarikan pelancongan yang cukup mengujakan dan menarik untuk diterokai.

Daripada tinggalan sejarah, agropelancongan dan aktiviti lasak, masih banyak lagi yang boleh diterokai saat berada di situ.

Destinasi yang disenaraikan di bawah antara lokasi menarik yang dikunjungi penulis dan mesti dilawati.

Bukit Jugra

Terletak di ketinggian 146 meter dari paras laut, Bukit Jugra menawarkan suasana cukup mendamaikan. Berada di atas puncak Jugra ini, pemandangan mempesona adalah santapan wajib buat pengunjung.

Ketenangan jiwa dapat dirasai dengan pemandangan indah sungai yang mengalir, Pulau Carey yang menghijau, Selat Melaka yang terbentang luas, perkampungan nelayan tradisional dan sekitar Jugra menawarkan pemandangan menghijau.

Angin sepoi-sepoi bahasa yang menyapa juga cukup mendamaikan sekali gus menjadikan Bukit Jugra ini salah satu lokasi aktiviti meluncur angin, paragliding yang popular dan terbaik di Asia.

Selain itu, di atas Bukit Jugra ini menempatkan Rumah Api yang dibina sejak tahun 1976.

Menghadap Selat Melaka, Rumah Api ini memainkan peranan penting sebagai rujukan geografi untuk nakhoda kapal di lautan.

Selain rumah api, di atas Bukit Jugra ini juga terdapat Balai Cerap yang sering digunakan secara rasmi untuk melihat anak bulan terutama menjelang Ramadan dan Syawal.

Muzium Insitu Jugra

Asalnya, bangunan ini adalah runtuhan bangunan lama yang pernah dijadikan balai polis daerah atau lebih dikenali sebagai ‘rumah pasung.’

Balai polis atau rumah pasung dan penjara yang dibina sejak zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad sekitar 1878 oleh pegawai polis British, Kaptan Harry Charles Syers.

Ketika itu Jugra berfungsi sebagai pusat pemerintahan dan pentadbiran Kesultanan Melayu Selangor.

Bangunan dua tingkat ini juga berperanan sebagai rumah pasung hingga pentadbiran Selangor berpindah ke Klang pada tahun 1882.

Rumah pasung ini membuktikan masyarakat pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Samad hidup di bawah pentadbiran kerajaan yang mempunyai undang-undang sebagai satu sistem keadilan.

Namun, selepas kerja ekskavasi dan pemuliharaan siap dijalankan, bangunan ini dijadikan muzium yang dikenali sebagai Muzium Insitu Jugra.

Segala hal berkaitan khazanah warisan termasuk struktur binaan penjara, mahkamah mini, sebuah perigi lama di samping kesan tapak cari gali dan hasil jumpaan melalui kerja ekskavasi arkeologi yang dijalankan juga dipamerkan di muzium ini.

Makam Diraja Almarhum Sultan Abdul Samad

Sebagaimana pusara bagi orang kebanyakan, yang sentiasa dikunjungi kaum kerabat, begitu juga makam sultan ini yang sentiasa dikunjungi terutama kerabat diraja dan rakyat jelata.

Makam yang terletak di atas Bukit Jugra itu, sentiasa dijaga dengan rapi dan terus terpelihara.

Makam Diraja Jugra ini adalah sebahagian daripada bukit Jugra yang dipilih sebagai kawasan pemakaman keluarga Diraja Selangor pada tahun 1886. Kawasan ini juga dikenali sebagai Kompleks Makam Diraja dan secara keseluruhannya, kawasan pemakaman ini berpagar.

Di kawasan seluas lebih kurang 2.023 hektar ini, terdapat sebuah binaan batu yang besar dan di dalamnya terdapat makam Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah yang mangkat pada Februari 1898, memerintah dari tahun 1859 hingga 1898.

Makam lain di bahagian luar kompleks termasuk Makam Almarhum Tengku Muda Musa, Makam Almarhum Tunku Alfah Almarhum Sultan Abdul Samad, Makam Almarhum Tunku Jaafar, Makam Tunku Yaakob, Almarhum Tunku Maharum, Almarhum Raja Berkat, Makam Almarhum Tengku Muteh Ibni Sultan Abdul Samad.

Masjid Bandar

Walaupun tidak berpeluang mengunjunginya baru-baru ini, Masjid Bandar juga antara tarikan pelancongan di Jugra.

Masjid ini dibina kira-kira 200 meter dari Istana Temasya pada dekad pertama abad ke-20 (tahun 1905). Dari segi reka bentuk masjid ini menerima pengaruh seni bina daripada kerajaan Deli, Medan, Indonesia.

Tiang seri, seni ukir dinding dan mimbarnya yang unik dari jenis kayu tahan lama serta bermutu tinggi. Mimbar yang terdapat di dalam Masjid Sultan Alaeddin Suleiman Syah sering digunakan baginda ketika berkhutbah.

Istana Alaeddin atau Istana Bandar

Istana Alaeddin juga dikenali dengan nama Istana Bandar dibina Sultan Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, Sultan Selangor kelima pada tahun 1905.

Sultan Alaeddin mereka bentuk bangunan ini sendiri mengikut seni bina Islam dari India dan Timur Tengah serta membiayai kos pembinaannya.

Terdapat juga pengaruh seni bina Cina pada Istana ini kerana tukang Cina juga turut membina istana ini.

Istana ini mempunyai landskap menarik dengan kolam yang terletak di bahagian tengah tengah istana. Sultan Alaeddin bersemayam di istana ini selama kira-kira 33 tahun sehingga baginda mangkat pada tahun 1938.

Di istana ini juga pada tahun 1926 diputerakan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Almarhum Sultan Hishamuddin Alam Shah, sultan ketujuh memerintah Negeri Selangor.

Selepas kemerdekaan, istana ini ditinggalkan berikutan pemindahan pusat pentadbiran ke Kuala Lumpur. Istana ini kemudian dijadikan sebagai pusat kraf tangan daerah dan selepas itu dijadikan pusat tahfiz al-Quran.

Istana Alaeddin diwartakan sebagai monumen lama dan Tapaktanah Bersejarah di bawah Akta Bendapurba Bilangan 168/1976 pada 24 Julai 1980.

Istana ini juga dikenali sebagai Istana 40 Bilik kerana di dalamnya terdapat 40 bilik. Istana dua tingkat ini dibina di atas tanah seluas lebih kurang 5.225 hektar. Bahagian tengah terdapat dua tingkat mengandungi 4 bilik iaitu bilik peraduan, bilik menghadap, bilik tetamu diraja dan persemayaman baginda.

Ladang Teh Boh, Sri Cheeding

Terkeluar sedikit dari kawasan Jugra, Ladang Teh Sri Cheeding ini antara yang menarik untuk dilawati. Dibuka pada tahun 1927 dengan keluasan lebih kurang 84.98 hektar. Ladang teh ini juga dikenali sebagai BOH Plantations dan terkenal dengan ladang teh tanah rendah.

Di sini, anda pastinya terpegun melihat ladang teh tanah rendah yang sememangnya sukar dijumpai. Mana tidaknya, kebanyakan ladang teh yang kita lihat dan ketahui terletak di kawasan tinggi dan bersuhu rendah.

Namun, mempunyai suhu sederhana, teh di sini tidak sama dengan ladang teh lain apabila ia di tanam di tanah tinggi dan memerlukan suhu rendah atau pun sejuk.

Menariknya, teh di ladang ini ditanam di bawah pokok kelapa sawit secara berselang-seli dan ia tanaman teh seumpamanya yang pertama di dunia.

Di ladang ini juga menempatkan kilang yang beroperasi untuk memproses dan membungkus teh. Ia sememangnya cukup mengujakan kerana pengunjung pastinya terpegun melihat bagaimana proses pembungkusan teh ini dilakukan.

Kilang ini juga menerima bekalan daun teh dari ladang teh di Cameron Highlands untuk pembungkusan.

Oleh itu, ladang ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri terutama bagi mereka yang ingin melihat teh tanah rendah dan juga bagi mengetahui cara teh diproses serta dibungkus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:46 PM