DIHIDANG bersama sos mayomint.
DIHIDANG bersama sos mayomint.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Kedengaran kesan ‘bunyi’ ayam di atas besi pemang­gang panas ditambah de­ngan aroma yang memikat pasti saja membangkitkan selera sesiapa saja.

Kepuasan menikmati burger yang dihidang dengan daging ayam sememangnya tidak terkata kerana bukan saja menyelerakan malah kombinasi istimewa itu turut mengenyangkan.

Menu yang jarang sekali dihidangkan terutama di gerai menjual burger ini boleh didapati di gerai Armada Grill di tapak bazar Taman Ria, Sungai Petani.

Penulis berkesempatan mencuba burger ayam gril itu yang menjadi kegemaran ramai dan ternyata ia memberi kelainan dan mempunyai keunikan rasa tersendiri.

Lebih menarik burger ayam gril itu tidak dihidangkan dengan sos cili mahupun sos lada hitam, tapi ia dilengkapi sos istimewa olahan pemiliknya Mohd Izham Awang Puteh dan Hairi Zaidi Zainuddin.

Menurut Mohd Izham, sos yang diberi nama ‘mayomint’ berasaskan mayonis diberi sentuhan istimewa resipi unik kerana dicampur dengan beberapa bahan lain seperti daun pudina dan serbuk lada hitam.

“Kami cipta kelainan menggunakan sos mayomint kerana mahu pengunjung menikmati rasa perapan istimewa yang diketengahkan pada ayam gril ini,” katanya.

Katanya, perapan ayam berkenaan sudah cukup memberi impak rasa yang diperoleh dari herba dan bahan lain yang digunakan serta diimbangkan dengan rasa segar selain dari sos mayomint.

“Resipi bahan perapan ini kami cipta sendiri sendiri selain mengandungi beberapa bahan dan herba seperti kicap, sos tiram, oregano serta lada hitam.

“Disebabkan bahan yang digunakan sudah mempunyai rasa tersendiri kami tidak menggunakan sos lain untuk menutup rasa perapan itu selain hanya hidangkan bersama sos mayomint yang segar.

“Sos mayomint juga saya hasilkan sendiri bagi memberi kelainan dengan menambah daun pudina dan serbuk lada hitam,” katanya.

Antara menu lain yang turut menjadi pilihan pe­ngunjung adalah kambing gril yang turut dihidang bersama sos mayomint dan salah sebagai hidangan sampingan.

“Sama seperti burger ayam gril, kami turut fokuskan kepada perisa perapan kambing itu sendiri dengan menghidangkan sos mayomint bersama supaya rasa perapan tidak hilang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 12:50 PM