NOOR Hidayah melakukan latihan menghafaz menggunakan al-Quran Braille.
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Dilahirkan dengan masalah penglihatan, Noor Hidayah Mohd Yusof, 22, membuktikan dia dapat melakukan perkara sama seperti insan normal lain.

Tidak hairanlah dia menerima Anugerah Khas pada Majlis Konvokesyen ke-16 Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) penghujung Julai lalu kerana prestasi cemerlang dalam Diploma Tahfiz Al-Quran Wa Al Qiraat dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88.

Lebih membanggakan, anak bongsu daripada 10 beradik itu turut aktif menyertai pertandingan hafazan peringkat negeri dan kebangsaan.

Dia pernah menjadi Johan Pertandingan Tilawah al-Quran Pendidikan Khas Peringkat Kebangsaan pada 2012, Naib Johan Pertandingan Menghafaz al-Quran Karnival Amal Islami Peringkat Kebangsaan selain sagu hati dalam Majlis Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Noor Hidayah berkata, dia aktif menghafaz al-Quran sejak di bangku sekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth Johor Bahru, Johor.

“Saya tahu membaca al-Quran sejak umur 10 tahun dan khatam ketika berumur 14 tahun. Selepas itu, saya menyambung hafazan ketika berusia 16 tahun dan tamat pada usia 19 tahun.

“Setiap hari, saya amalkan menghafaz dua muka surat al-Quran. Biasanya waktu Maghrib ke Isyak adalah waktu yang paling saya gemar meluangkan masa bersama al-Quran,” katanya.

Menurutnya, masalah penglihatan memang memberi cabaran kepada dirinya, tetapi tidak pernah sekalipun dia menjadikan kekurangan itu sebagai halangan.

“Saya perlu pakai kanta khas untuk membaca buku manakala saya menggunakan jari untuk membaca al-Quran Braille.

“Jika ingin tahu maksud ayat suci itu, saya akan gunakan telefon bimbit untuk melihat tafsir al-Quran,” katanya.

Katanya, dia berhasrat dapat menabur bakti sebagai tenaga pengajar al-Quran terutama golongan senasib dengan dirinya.

Noor Hidayah berkata, dia turut menyokong penganjuran World #QuranHour yang berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 11 September ini bermula jam 9 pagi.

“Bagi saya, setiap orang tak kira normal atau cacat diberi kelebihan membaca dan menghafaz al-Quran. Paling penting jangan kita lupakan al-Quran.

“Pada hari berkenaan, saya akan bersama mengaji di rumah di Kuala Krai, Kelantan dan mengajak rakan lain turut serta sebagai tanda sokongan kepada program ini,” katanya.

World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (YWUI) itu dianjurkan sebagai solidariti menghargai dan mengangkat martabat al-Quran.

Program ini turut mendapat sokongan beberapa media tempatan bergabung membentuk satu sinergi bagi mempromosikan kempen WORLD #QuranHour yang dijadualkan berlangsung serentak di seluruh dunia termasuk termasuk di Padang Arafah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 8:28 AM