myMetro

Kuala Lumpur: Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) SM Nasarudin SM Nasimuddin (gambar), yakin kontinjen negara ke Sukan Paralimpik Rio mampu memperbaiki pencapaian London 2012 sekali gus mahu melihat atlet paralimpik menjadi jutawan selepas temasya sukan berkenaan.

Seramai 21 atlet paralimpik negara kini sedang beraksi di Rio, mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 acara dipertandingkan iaitu olahraga, berbasikal, powerlifting, memanah, ping-pong, pelayaran, tenis kerusi roda dan renang.

“Saya yakin bahawa atlet kita akan mempamerkan aksi lebih baik daripada Paralimpik London 2012,” kata SM Nasarudin yang juga Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza dalam kenyataan akhbarnya di sini, semalam.

“Itulah sasaran MPM untuk Paralimpik Rio tetapi sudah pasti kami menyasarkan untuk membawa pulang pingat emas pertama.”

Sehingga kini, Malaysia masih belum memenangi pingat emas baik dalam Olimpik mahu pun Paralimpik.

Begitupun, dua atlet iaitu Abdul Latif Romly yang menyertai acara lompat jauh serta pelari pecut Mohd Ridzuan Mohd Puzi antara yang menjadi sandaran selepas memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga Dunia IPC di Doha, Qatar tahun lalu.

Abdul Latif membuat lompatan sejauh 7.35m untuk rekod baru untuk kategori T20 manakala Ridzuan merekodkan catatan terbaik individu 11.18 untuk acara 100m lelaki dalam kategori T36.

“Bagaimanapun, kejohanan antarabangsa seperti Paralimpik Rio mampu memberi landasan terbaik untuk atlet paralimpik kita mendapat tumpuan,” kata SM Nasarudin yang akan menyertai kontinjen negara di Rio.

Sejak menggalas tugas berkenaan Januari lalu, SM Nasarudin yakin mampu mencipta kesedaran di kalangan rakyat Malaysia mengenai atlet paralimpik dan sukan membabitkan mereka, seterusnya meletakkan negara di peta sukan dunia.

“Malangnya tidak banyak yang diketahui mengenai atlet paralimpik dan potensi mereka untuk mencipta kejayaan di pentas global. Malah tidak banyak yang saya tahu mengenai atlet paralimpik sebelum menyertai MPM,” kata beliau.

“Justeru, perkara pertama yang ingin saya gerakkan adalah menggalakkan sikap positif dan progresif terhadap sukan paralimpik. Matlamat utama saya adalah supaya atlet paralimpik dipandang dan disokong setaraf seperti atlet normal dan membina keyakinan terhadap golongan kurang upaya.”

MPM adalah ahli gabungan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) yang berpangkalan di Bonn, Jerman, Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) dan Persekutuna Sukan Para ASEAN. Ia disokong penuh Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 8:49 AM