NUR ATIQAH
KEYAKINAN dirinya terserlah.
Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my


Siapa sangka dengan modal permulaan hanya RM800 kira-kira enam tahun lalu, jenama tudung yang terkenal dengan rekaan anggun, Sugarscarf, kini kukuh sebagai satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah tanah air.

Lebih membanggakan, jenama itu melakar sejarahnya tersendiri apabila berjaya menjadi perintis tudung tempatan yang menembusi pasaran fesyen selendang wanita di United Kingdom (UK).

Bijak menyusun rancangan perniagaannya, pemilik Sugarscarf, Nur Atiqah Sulaiman, 31, sudi berkongsi detik awal pembabitannya hingga tertubuhnya jenama yang sering meniti di bibir peminat fesyen tudung.

Mengakui dirinya seorang yang begitu meminati tudung, dia mula berniaga sejak zaman universiti dan akan bergerak dari bilik ke bilik semata-mata untuk menjual tudung yang dibeli dari orang lain.

Biarpun ramai juga yang tidak mahu membeli, ia bukan alasan memadamkan semangat usahawan dalam dirinya.

Selama dua tahun menjual tudung jenama orang lain ketika itu sedikit sebanyak memberi maklumat mengenai tabiat pembeli wanita yang dilihatnya memang suka berbelanja berkaitan fesyen.

Menurutnya, pada peringkat awal dia mahu fokus pada perniagaan, ibu bapa tidak begitu bersetuju kerana bimbang mengenai masa depannya, apatah lagi dia bukan berasal daripada keluarga peniaga.

Namun, semangat ditunjukkan selain usaha gigih mengukuhkan perniagaan, membuatkan keluarganya kini antara penyokong kuat untuk dia terus berjaya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Multimedia dari Universiti Multimedia (MMU) itu berkata, bagi yang berniat untuk memulakan perniagaan, mereka perlu mempunyai pengetahuan, bukan sekadar memikirkan keuntungan.

Malah sehingga kini, dia tidak mengambil mudah kejayaan yang dikecapi dan masih terus menambah ilmu serta mengikuti kursus untuk berhadapan dengan cabaran dalam bidang perniagaan.

Katanya, peniaga baru juga perlu bersedia dengan kemungkinan akan rugi pada permulaan perniagaan.

“Setiap orang yang mahu mulakan perniagaan, perlu tentukan terlebih dulu berapa jumlah yang mereka bersedia untuk rugi kerana bukan semua cubaan berniaga akan menjadi.

“Misalnya seperti saya, sebelum berjaya dengan perniagaan tudung, saya juga sudah cuba banyak jenis perniagaan tetapi semuanya tidak menjadi.

“Kita kena belajar daripada kesilapan. Selalunya kesilapan orang yang baru mula berniaga adalah tidak tahu hendak jual apa dan siapa sasaran pelanggan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Strategi pikat semua bangsa

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, sebaik memulakan perniagaan dalam bidang fesyen, dia sedar hanya rekaan mengikut aliran terkini atau berbeza akan mendapat sambutan ramai.

Apatah lagi katanya, fesyen adalah satu kitaran dan ia perlu diberi nafas baru dari semasa ke semasa, bukan terus berada di takuk sama sekiranya ingin berada di hadapan dalam persaingan.

“Dalam usaha menjadi pendahulu aliran fesyen tudung terkini, saya akan memerhatikan bagaimana perkembangan fesyen jenama antarabangsa sebagai sumber inspirasi membangunkan syarikat sendiri.

“Kita juga tidak seharusnya sentiasa mengejar aliran terkini kerana lambat- laun kita akan tertinggal sebaliknya menjadi pendahulu dalam fesyen dengan rekaan terkini dan unik,” katanya.

Perkembangan pesat fesyen tanah air dengan semakin ramai pengusaha tudung muncul setiap hari, Nur Atiqah memandang perkara itu dari sudut positif.

Katanya, ia adalah perkembangan yang sihat kerana sesuatu jenama tidak boleh terus berada di takuk lama dan akan matang mengikut usia pelanggan setia, tetapi pada masa sama ia perlu mencari pelanggan baru setiap masa.

“Sepanjang berniaga juga, kita perlu tahu aliran wang tunai dan jangan membazir biarpun menjana keuntungan.

“Saya sendiri pernah melakukan kesilapan apabila terpaksa menutup beberapa cawangan Sugarscarf, bukan kerana tidak untung tetapi kerana terlalu banyak perlu difokuskan.

“Melihat kepada keutamaan perniagaan secara dalam talian, saya kemudian mengambil keputusan memberi sepenuh perhatian kepada dua cawangan yang terletak di Bangi dan Shah Alam, selain gudang di Bukit Jelutong,” katanya.

Berbicara mengenai jenama berkenaan di pasaran UK, ia tidak hanya memfokus kepada orang Islam, sebaliknya boleh digayakan sesiapa saja yang sukakan selendang.

Katanya, strategi perniagaan di sana perlu disusun secara teliti bagi mempopularkan tudung dan selendang keluaran Sugarscarf dalam kalangan semua bangsa, bukan hanya tertumpu kepada satu-satu kaum atau masyarakat Islam.

Tidak penat berfikir

Memiliki 35 kakitangan, Nur Atiqah berkata, dia menyimpan impian besar dan kini sedang berusaha menjadikan tudung keluaran syarikatnya berdiri megah setanding jenama besar lain di persada dunia.

“Ia bukan kerja mudah dan memerlukan usaha keras. Saya bersyukur kerana memiliki pasukan bagus dan profesional yang membantu merealisasikan pelbagai wawasan selain faham dengan tugas masing-masing,” katanya.

Menurut anak sulung dari tiga beradik ini, sepanjang menguruskan perniagaan, emosi perlu kuat kerana ada kalanya perniagaan menguntungkan tetapi ada kalanya ia boleh mencatatkan kerugian yang banyak.

Katanya, jatuh bangun dalam perniagaan perkara biasa malah dia pernah mengalami kerugian besar yang banyak mengajarnya untuk berhati-hati supaya tidak mengulangi kesilapan sama.

Biarpun sibuk dengan pelbagai urusan perniagaan, Nur Atiqah tetap memperuntukkan masa bersama keluarga. Namun dia mengakui sentiasa memikirkan mengenai perniagaan dan idea terbaru yang seolah-olah sudah menjadi sebahagian dirinya.

“Saya akan mencuri masa, mungkin dalam satu jam dengan hanya duduk di sofa dan menonton televisyen walaupun tetap berfikir mengenai perniagaan. Sebaik habis menonton, ada kalanya saya mendapat ilham tudung terbaru pula.

“Selain itu, saya juga seorang yang suka membaca dan topik yang saya gemari adalah mengenai perniagaan. Saya mahu terus menambah ilmu dalam bidang itu, selain sering menghabiskan masa berbual bersama suami.

“Suami antara penasihat saya dan kami selalu berbincang. Saya akan meminta pendapatnya mengenai pelbagai hal berkaitan perniagaan,” katanya yang akan membawa anak melancong apabila mempunyai masa terluang yang panjang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2016 @ 11:04 AM