NAINGGOLAN (kiri) bantu Roma benam Genoa.

Milan: Sepakan gunting menakjubkan Radja Nainggolan membantu AS Roma merapatkan jurang dengan pendahulu Serie A, Juventus kepada hanya satu mata selepas menang 1-0 ke atas Genoa yang beraksi 10 pemain, awal pagi semalam.

Genoa kendalian Gian Piero Gasperini menerima kunjungan Roma dan memburu kemenangan ketujuh dalam 10 perlawanan liga, namun pelawat lebih teruja selepas Sampdoria mengikat Juventus 1-1 di Turin.

Roma menerima rangsangan selepas setengah jam apabila penjaga gol Matti Perin dilayang kad merah kerana mengasari Nainggolan dalam kotak penalti.

Sekalipun penggantinya Eugenio Lamanna hebat menyelamatkan sepakan penalti Adem Ljajic pada penampilan sulung dalam Serie A, kelebihan Roma tidak dapat disangkal.

Nainggolan mendapat ruang lima minit sebelum rehat dan menghasilkan sepakan gunting mengagumkan untuk merembat hantaran Maicon melepasi Lamanna.

Keputusan itu memberi impak positif terhadap anak buah Rudi Garcia selepas sebelumnya gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara apabila tumpas 0-2 kepada Manchester City.

“Saya gembira kami meraih peluang untuk merapatkan jurang dengan Juventus kepada satu mata,” kata Garcia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 8:17 AM