YUBI Band rasa sangat bertuah terpilih nyanyi lagu tema filem animasi Upin Ipin Jeng Jeng Jeng.
Ridzuan Abdul Rahman


Ketika kumpulan baru lain terkial-kial meraih perhatian peminat, Yubi Band sebalik­nya apabila mudah mencipta nama selepas terpilih menyanyikan lagu tema filem animasi Upin Ipin Jeng Jeng Jeng yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Kumpulan kugiran ini dianggotai Yubi, 27, selaku penyanyi, Izzat, 28, (dram), Mubin, 26, (gitar), Ajam, 27, (gitar kedua) dan Syabil, 25, (bass).

Yubi atau nama sebenarnya, Muhammad Salehuddin Ayubi Mohd Fauzi selaku pengasas kumpulan ini mengakui berbesar hati diberikan peluang keemasan menyanyikan lagu tema itu.

“Sebagai kumpulan yang masih baru dalam arena muzik tempatan, kami rasa sangat bertuah. Ini peluang terbaik untuk kami mencipta nama dan mengembangkan bakat sebagai pemuzik.

“Animasi Upin Ipin mempunyai pengaruh besar terutama dalam kalangan kanak-kanak. Bahkan ia turut mendapat perhatian di negara jiran.

“Kami berharap pembabitan dalam klip video lagu tema ini boleh membuatkan kami lebih dikenali,” katanya.

Lagu ciptaan Ainon Ariff ini menampilan muzik ceria dan lirik ringkas bersesuaian dengan genre filem yang berkisar dunia kanak-kanak.

“Lagu ini ciptaan sepenuhnya tenaga kerja Les’ Copaque, manakala susunan muziknya dilakukan KRU Studios. Kami turut terbabit dengan pembikinan video muzik lagu ini “Nampak mudah tetapi pembikinannya ada cabaran tersendiri. Kami kena membayangkan watak Upin dan Ipin wujud ketika penggambaran sedangkan KRU Studios hanya meletakkan dua batang tiang di hadapan kami sebagai panduan.

“Kami kagum melihat hasil video muzik ini kerana ia sangat ceria dan berwarna-warni. Inilah keistimewaan video muzik ini,” katanya.

Mengupas latar belakang muziknya, Yubi pernah menghasilkan single Malam Bintangmu yang melayakkannya tercalon dalam kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 2013.

“Ketika itu Yubi Band tampil dengan anggota lain dan kami juga pernah ­bekerjasama dengan Kumpulan Padi menerusi lagu Bila Kau Pergi. Mereka mengambil keputusan berundur kerana terikat dengan pelbagai komitmen lain.

“Anggota Yubi Band sekarang hanya bersama saya sejak Mac lalu apabila kami terbabit dengan projek ini. Mereka asalnya kawan saya dan kami pernah bekerjasama dalam beberapa projek lain.

“Ikutkan lagu tema filem Upin Ipin Jeng Jeng Jeng ini agak berbeza dengan genre kesukaan saya iaitu slow rock. Namun kami jadikan ini sebagai cabaran. Selepas ini kami kena hasilkan lagu yang lebih kuat untuk meraih perhatian peminat,” katanya.

Selain Yubi Band, video muzik ini turut dijayakan Asyiela Putri, 16, yang meminjamkan suara uniknya untuk karakter Upin dan Ipin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 5:01 AM