RAMAI puji persembahan mantap dalam filem Pekak.
Ramlah Zainal


Sukar untuk menidakkan kemampuan pelakon berbakat besar, Sharifah Sakinah melakonkan watak antagonis. Malah karakter sebegini serasi dengannya sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan tanah air.

Bagi pemilik nama sebenar Sharifah Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired ini, dia bersyukur apabila sering diberi kepercayaan penerbit dan pengarah melakonkan karakter gelap dalam drama.

“Betul, selama ini saya kerap ditawarkan watak antagonis.

“Sebagai pelakon, saya juga boleh bawa watak komedi, romantik dan sebagainya,” katanya.

Justeru, tidak hairanlah Sakinah sekali lagi ditawarkan watak gelap dalam filem Pekak.

Malah, ramai memuji persembahan mantapnya dalam filem arahan Mohd Khairul Azri Md Noor itu.

Menerusi Pekak, Sakinah bergandingan dengan barisan pelakon hebat seperti Zahiril Adzim, Sharifah Amani, Amerul Affendi dan Iedil Putra.

“Saya sudah lama menanti watak budak flet seperti Melur yang juga kawan baik kepada watak utama Dara lakonan Amani.

“Sebagai pelakon, saya sudah buat yang terbaik, tetapi tidak pernah puas kerana masih banyak kelemahan perlu diperbaiki.

“Kejayaan filem ini disebabkan kesungguhan dan kerjasama utuh pelakon dan kru,” katanya.

Diminta mengulas babak panas dan ghairah dalam filem itu, Sakinah berkata dia bertuah kerana suami memahami tugasnya sebagai pelakon.

“Suami sudah mengetahui pembabitan saya dalam bidang lakonan sebelum kami berkahwin lagi.

“Pada masa sama, suami juga sedar ia sekadar lakonan semata-mata,” katanya.

Filem Pekak terbitan Grand Brilliance dan Lighbulb Pictures menjengah pawagam tanah air bermula 1 September lalu.

Selain Pekak, dia juga berlakon dalam filem Kimchi Untuk Awak arahan Michael Ang yang menjalani penggambaran di Korea Selatan.

Masih berbulan madu

Jika nak diikutkan, Sakinah dan suaminya, Aliff Adha, 28, yang bertugas sebagai juruterbang masih dalam fasa berbulan madu selepas diijabkabulkan pada pada 28 Mac tahun lalu.

Sakinah berkata, dia dan suami tidak menolak jika dikurniakan anak dalam tempoh terdekat.

“Saya pernah memberitahu kami masih dalam fasa berbulan madu dan hanya merancang memiliki anak selepas dua tahun berkahwin.

“Namun, saya disahkan mengandung lebih awal, tetapi nampaknya bukan rezeki kami apabila mengalami keguguran.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki untuk hamil dalam masa terdekat ini, kami terima dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu, Sakinah juga aktif dengan program kecerdasan Fitness Sakinah lebih dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 5:02 AM