X
MESSI (tengah) masih dalam perhatian Enrique.
MESSI (tengah) masih dalam perhatian Enrique.
AFP

Madrid: Rangkaian penyerang Barcelona paling digeruni - Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar mungkin turun buat kali pertama dalam tempoh empat bulan apabila kelab itu melayan Alaves, esok.

Neymar terlepas semua aksi awal Barca kerana mewakili Brazil di temasya Olimpik Rio tetapi sudah kembali ke Sepanyol yang ditinggalkan sejak Mei lalu dan dijangka beraksi di Camp Nou esok.

Tahap kecergasan Messi masih diragui apatah lagi dia tidak bermain ketika Argentina menentang Venezuela pertengahan minggu ini akibat masalah paha dan pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu hanya menjalani latihan ringan sekali gus membuatkan jurulatih Luis Enrique terpaksa mengambil langkah berhati-hati.

Paco Alcacer yang berpindah dari Valencia, sedia untuk diturunkan dan penyerang antarabangsa Sepanyol sedar dia perlu merebut peluang yang ada untuk membuktikan bahawa dia layak menjadi pengganti kepada Messi, Suarez dan Neymar.

“Saya akan melakukan apa saja untuk mengambil peluang ini,” kata Alcacer.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2016 @ 8:05 AM