X
POTONGAN empayar sembunyi susuk tubuh berisi, buat pemakai tampil sopan.
POTONGAN empayar sembunyi susuk tubuh berisi, buat pemakai tampil sopan.
Rudy Imran Shamsudin


Pada awalnya, baju berpotongan empayar dihasilkan pereka fesyen untuk pengantin berbadan gempal.

Potongan itu menggantikan ukuran pinggang kepada ukur lilit di bawah dada yang mampu menyembunyikan susuk tubuh berisi.

Bagaimanapun, dengan perubahan dunia fesyen, potongan empayar kini menjadi satu aliran terutama sekali dalam perincian busana dihasilkan.

Ia tidak saja menjadi pilihan mereka yang berbadan gempal, yang bertubuh langsing turut gemar menggayakannya.

Potongan empayar juga digemari mereka yang berhijab kerana dapat menyembunyikan bentuk badan. Tidak dinafikan potongan ini memberikan keselesaan kepada si pemakai kerana longgar dan kembang di kelilingnya.

Kebanyakan selebriti tempatan gemar menggayakan busana berpotongan begini apabila menghadiri majlis formal.

Walaupun ia membuatkan baju dipakai nampak ringkas, dengan kebijaksanaan pereka menambah perincian ia mampu membuatkan penampilan seseorang itu mewah apabila melalui karpet merah.

Potongan empayar boleh dipelbagaikan dalam banyak bentuk dan fesyen. Contohnya baju digayakan Zulin Aziz turut ditampilkan potongan ‘high and low’ dan digayakan bersama seluar.

Perician di bahagian pinggang dan pergelangan bahu membuatkan penampilannya begitu berketerampilan.

Baju potongan empayar digayakan bersama kain labuh mampu menyerlahkan keayuan si pemakai kerana ia membuatkan mereka tampil lebih sopan seperti Fara Fauzana dan Siti Norsaida.

Ia mampu menyembunyikan susuk tubuh bagi mereka yang berisi hingga membuatkan penampilan mereka cukup memukau. Buktinya lihat saja penampilan Sherry Al-Hadad dan Ifa Raziah dalam baju berpotongan begini.

Sewaktu mengandung, penyanyi popular Misha Omar turut memilih gaun berpotongan empayar bagi menyembunyikan perutnya yang sarat ketika menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular BH.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:03 AM