WALAUPUN tak berapa sihat dia dapat tenaga ketika penggambaran Mat Motor Otai.
Amirul Haswendy Ashari


Sebut sahaja sitkom Spanar Jaya, pasti terbayang-bayang tiga pelakon utamanya, Ahmad Idham, Wardina Safiya dan Opie Zami.

Sitkom itu berjaya menjadi antara pilihan peminat yang pernah bersiaran di ntv7 pada 1999 sehingga 2003. Tapi kini masing-masing sibuk dengan kerjaya sendiri.

Ahmad Idham bergelar pengarah dan pengasas akademi filem, Wardina pula mengurus rumah tangga dan aktivis masyarakat manakala Opie bekerja di belakang tabir.

Rabu lalu SELEBRITI bertemu dengan Opie atau Mohd Soupi Zami, 42, untuk fotografi bersama pelakon filem Mat Motor Otai.

Anak seniman Allahyarham Zami Ismail itu sudah lama tinggalkan dunia lakonan dengan filem terakhir lakonannya pada 2009 melalui filem Jin Hutan.

Selepas itu, dia terus duduk di kerusi pengarah dan turut menjadi produser dan penyunting visual.

Katanya, ikutkan dia mahu kurangkan aktiviti berlakon sebab mahu fokus pada kerja belakang tabir kerana masih dalam proses belajar teknik pengarahan dan penerbitan.

“Bukan tidak ada tawaran berlakon, cuma saya terpaksa tolak sebab masalah kesihatan. Saya ada masalah paru-paru dan tidak boleh melakukan aktiviti lasak.

“Masalahnya, saya tidak ada aktiviti santai untuk dilakukan. Saya bukannya minat memancing. Nak bersukan? Baru lari lima langkah, sudah semput!” katanya ketawa.

Sisi komedi diwarisi arwah bapanya nyata masih kental di dalam diri anak ketiga daripada sembilan beradik ini.

Walaupun pernah mengarah filem pertama, Kecoh! Hantu Raya Tok Cai pada 2013, peminat masih merindui keletah watak ‘Mat Rock’ yang pernah dilakonkan dalam sitkom Spanar Jaya dulu.

Sedar bukan hal mudah untuk kembali seperti dulu, Opie cuba mengubat kerinduan dengan menerima tawaran berlakon daripada Ahmad Idham.

“Saya terima sebab sudah lama tidak berlakon. Kebetulan dapat bersama semula dengan rakan baik, terutama Idham. Kali terakhir kami bekerjasama dalam filem Impak Maksima pada 2007.

“Saya juga tertarik dengan jalan ceritanya yang berkisar golongan matang berdepan masalah krisis pertengahan umur yang memang kena dengan situasi umur saya sekarang.

“Tambah pula kesihatan saya belum pulih sepenuhnya, apabila berlakon saya seolah-olah bertenaga. Saya tiada cara untuk berseronok dan bertenaga kecuali apabila dapat berkarya,” katanya bersemangat.

Filem Mat Motor Otai turut dibintangi Datuk Eizlan Yusof, Cat Farish, Sasha Saidin, Wan Sharmila, Elvina Mohamed dan Hairul Ceria Popstar. Ia akan ditayangkan pada 6 Oktober depan.

Kata Opie, dia tahu apabila berlakon perlu memberi sepenuh tenaga terutama apabila berlakon komedi.

Katanya, jika tidak cukup tenaga, bagaimana penonton dapat merasainya?

Secara berseloroh, dia akui lepas geram dalam filem Mat Motor Otai hinggakan pelakon lain terkejut dengan tenaga yang diberikan sepanjang penggambaran dilakukan Mei lalu.

Tanpa berselindung, dia percaya ada perkara penting yang dapat disampaikan kepada masyarakat seni terutama golongan pelakon muda popular melalui lakonan.

Katanya, melalui lakonan dia mahu memberitahu usia bukan halangan dan sebagai pelakon yang menjengah usia 40-an, tunjuk ajar untuk golongan muda perlu ada.

“Kalau tiada panduan daripada orang tua, akan jadi hancur. Bagi yang matang seperti kami ni, sebelum kamu (orang muda) lalui, kami sudah pun melaluinya.

“Jadi, kami bagi pandangan kalau nak lakukan sesuatu, ada cara yang betul. Tujuan kami bukan beri nasihat, sebaliknya berkongsi pengalaman dan ilmu kepada golongan itu,” katanya.

Katanya, golongan itu perlu bimbingan kerana ramai yang sesat bukan saja pada agama malah pada diri sendiri.

Dia mengibaratkan selagi tidak berasa sakit atau pedih, selagi itulah mereka akan berdegil.

“Budak kan, dia ingin tahu. Jadi, kita diberi tanggungjawab untuk beritahu baik buruk dalam membuat keputusan. Perkongsian tidak semestinya di masjid tetapi boleh juga melalui filem.

“Contohnya kalau nak buat filem yang berat tapi masalah orang muda susah nak terima, jadi gaya kena ringan supaya lebih terbuka untuk mereka,” katanya.

Disebabkan itu juga dia percaya kemunculan semulanya ini mampu berkait dengan penonton. Katanya, berjaya atau tidak, itu soal kedua.

“Untuk melakukan sesuatu kebaikan, perlu berani tanggung risiko,” katanya.

Opie juga kini dalam proses akhir menyiapkan filem yang akan menjalani penggambaran di utara tanah air.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:04 AM