SPASOJEVIC (kanan) meraikan kejayaan MU memenangi Liga Perdana.

Melaka: Penyerang berbisa Ilija Spasojevic menafikan akan menyertai kelab lain, sebaliknya berhasrat kekal bersama Melaka United (MU) bagi mengharungi kempen Liga Super musim depan.

Penjaring terbanyak Liga Perdana setakat ini dengan 23 gol itu mengakui mahu kekal bersama juara baharu liga berkenaan kerana selesa dengan rakan sepasukan dan pengurusan pasukan serta paling penting, sokongan luar biasa peminat.

“Saya ada dengar banyak khabar angin mengenai perpindahan saya tapi setakat ini saya tidak berubah. Saya fokus bersama MU buat masa ini dan tidak memikirkan sangat apa akan terjadi musim depan.

“Saya sudah bercakap dengan pihak pengurusan untuk kekal di Melaka bagi beberapa tahun akan datang. Sekarang, semuanya bergantung kepada mereka,” kata kapten pasukan itu yang juga penyerang kelahiran Montenegro kepada pemberita malam kelmarin.

Spasojevic yang mesra dengan panggilan ‘Spaso’ ditemui selepas MU sah bergelar juara Liga Perdana apabila seri 1-1 dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Hang Jebat, Keputusan itu menyaksikan MU meraih 49 mata untuk kelebihan tujuh mata ke atas PKNS FC dengan baki dua perlawanan, sekali gus tidak mampu lagi dipintas pesaing terdekat itu.

Desas-desus mengenai penghijrahan Spasojevic hangat diperkatakan apabila beberapa kelab Indonesia, termasuk kelab lamanya Persib Bandung menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat penyerang berusia 28 tahun itu.

Semangat juang tinggi Spasojevic yang juga kapten pasukan MU perlu dipuji lantaran kesanggupannya menanggung risiko kecederaan berulang ketika mengharungi perlawanan itu.

Menurutnya, walaupun kecederaan pergelangan tangan belum pulih sepenuhnya, dia tidak sanggup menjadi penonton bagi perlawanan berkenaan walaupun menyedari risiko bakal ditanggung.

Sementara itu, pemain MU turut menerima berita gembira apabila bakal dibawa menunaikan umrah dan melawat Old Trafford sebagai habuan atas kejayaan bergelar juara.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dijangka mengumumkan beberapa insentif lain kepada pemain selepas beliau pulang daripada menunaikan haji.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2016 @ 5:07 AM