Kuala Nerus: Tiga puluh lapan pelancong dari Singapura menyertai Program Qurban D'Terengganu di Balai Raya Teluk Ketapang, hari ini.
Pengerusi Homestay Kampung Teluk Ketapang, Md Azmi A Aziz berkata, sebanyak tiga ekor lembu dikorbankan pada program itu.
"Program pertama kali itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta yang mengambil bahagian.
"Mereka mengambil bahagian secara langsung dalam proses penyembelihan itu untuk menyaksikan sendiri perjalanan ibadah korban itu," katanya.
Menurutnya program kerjasama kerajaan negeri bersama Koperasi Homestay Teluk Ketapang Terengganu Berhad itu secara langsung mempromosikan Pakej Pelancongan Muslim yang ingin diperkenalkan di negeri ini kepada pelancong luar.
Terdahulu, semua peserta turut menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Albrar Bukit Tok Beng, di sini.