Nama Mohamad Ridzuan di tempat keempat lompat jauh daripada lapan peserta. - Foto Twitter ISN
Nama Mohamad Ridzuan di tempat keempat lompat jauh daripada lapan peserta. - Foto Twitter ISN
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk merangkul emas kedua peribadi dan menyumbangkan empat keempat negara di temasya Paralimpik Rio 2016 bagi acara lompat jauh T36 (cerebral palsy) tidak kesampaian.

Ridzuan yang menghadiahkan emas pertama negara melalui acara 100m T36 menamatkan saingan di kedudukan keempat selepas mencatat jarak 5.36m dalam acara dikuasai Brayden Davidson dari Australia.

Davidson meraih emas dengan catatan 5.62m, perak milik tuan rumah menerusi Rodrigo Parreira da Silva (5.62m) dan Roman Pavlyk darI Ukraine gangsa (5.61m).

Tidak diletakkan sebarang harapan menerusi acara lompat jauh itu, Ridzuan yang mempunyai catatan terbaik peribadi 5.42m dilihat cuba memberi aksi terbaik dan memperbaiki catatan dari satu lompatan ke satu lompatan seterusnya.

Pada lompatan pertama, Ridzuan yang pernah menyumbangkan emas Para Asia di Incheon 2014 dalam acara lompat jauh itu melakukan 5.17m sebelum mencatat 5.22m pada lompatan ketiga diikuti 5.36m pada lompatan keempat namun kesilapan langkahnya membuatkan lompatan kelimanya hanya 4.73 sebelum lompatan terakhirnya dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 11:29 PM