Kampung Bukit Kolam, Ajil dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Nazdy Haru
Oleh Mohd Nasif Badruddin


Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 1,673 orang ditempatkan di 23 pusat pemindahan hingga 12 tengah hari tadi, berbanding 451 orang 6 petang semalam.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara Terengganu, Marang mencatatkan daerah tertinggi mangsa dengan 646 orang daripada 1,673 ditempatkan di tiga pusat pemindahan.

Kemaman mencatatkan 519 orang daripada 122 keluarga ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

Di Setiu seramai 416 orang daripada 114 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan manakala di Hulu Terengganu seramai 54 orang daripada 18 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan.

Di Kuala Terengganu seramai 22 orang daripada enam keluarga ditempatkan di satu pusat pemindahan diikuti Besut dengan 16 orang daripada tiga keluarga ditempatkan di satu pusat pemindahan.

Sementara itu di Kampung Tok Kundur, Pasir Puteh, Kelantan, mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir SK Wakaf Raja kekal 19 orang daripada empat keluarga sehingga 12 tengah hari tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 1:19 PM