PETUGAS menumbangkan kerbau pada Majlis Korban Aidiladha MAIK. FOTO Fathil Asri
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Sebanyak 42 lembu dan seekor kerbau dikorbankan sebelum diagihkan kepada 1,000 golongan fakir miskin di seluruh Kelantan pada Program Korban Aidiladha di sini, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Dr Nik Azlan Abdul Hadi berkata, program berkenaan untuk meringankan bebanan yang ditanggung golongan memerlukan supaya dapat merasai suasana ibadah korban.

Katanya, kesemua haiwan berkenaan dibeli dengan kerjasama daripada Jabatan Veterinar Negeri supaya disahkan bebas penyakit.

"Kita mengagihkan dua kilogram daging kepada setiap penerima dan acara pengagihan daging korban akan diadakan hari ini," katanya ketika ditemui.

Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra berkenan menyempurnakan ibadah korban di padang Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan ismail Petra, di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2016 @ 2:07 PM