X
Zukri (dua dari kanan) bersama Khairul (kiri) dan Steele (dua dari kiri) menunjukkan kad kredit-i yang dilancarkan.
Zukri (dua dari kanan) bersama Khairul (kiri) dan Steele (dua dari kiri) menunjukkan kad kredit-i yang dilancarkan.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menyasarkan 10 peratus daripada 200,000 pelanggan komersial dan korporatnya akan melanggan Kad Kredit-i Perniagaan Bank Islam Visa Infinite dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Khairul Kamarudin berkata, kad kredit itu yang berasaskan syariah pertama di Asia Pasifik dilancarkan untuk memenuhi keperluan pelanggan korporat serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Bagaimanapun, untuk suku akhir tahun ini, kami menyasarkan 500 pelanggan Kad Kredit-i Perniagaan Bank Islam Visa Infinite,” katanya selepas pelancaran Kad Kredit-i Perniagaan Bank Islam Visa Infinite di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Bank Islam Datuk Seri Zukri Samat, Pengurus Negara Kumpulan Wilayah Asia Tenggara bagi Visa, Tolan Steele dan Pengurus Negara Visa bagi Malaysia Ng Kong Boon.

Khairul berkata, setakat ini, segmen kad kredit menyumbang 5.0 peratus kepada jumlah pendapatan Bank Islam dan pihaknya mengunjurkan peningkatan sekali ganda dalam tempoh tiga tahun.

Menurutnya, Kad Kredit-i Perniagaan Bank Islam Visa Infinite ditawarkan untuk memenuhi keperluan pelanggan korporat dan PKS yang menyediakan kemudahan kewangan fleksibel.

Katanya, menerusi kad terbabit ia membolehkan perbelanjaan perniagaan dan peribadi diasingkan serta memperoleh penyata bulanan terperinci bagi memudahkan pengesanan perbelanjaan mereka.

Antara ciri Kad Kredit-i Perniagaan Bank Islam Visa Infinite adalah tiada caj kewangan berganda, tempoh 20 hari pengecualian caj kewangan, pengecualian yuran tahunan, had pembiayaan sehingga RM250,000 dan perlindungan perjalanan takaful percuma sehingga RM2 juta.

Sementara itu, Steele berkata, kad berkenaan disasarkan kepada syarikat besar dan PKS di Malaysia dalam usaha menggalakkan mereka peka terhadap perbelanjaan serta pengaliran tunai menggunakan kemudahan kad itu.

Malah, berdasarkan penyelidikan Perbankan PKS Digital Visa, kalangan syarikat besar dan PKS menyumbang lebih satu pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menggaji lebih separuh tenaga kerja di Malaysia.

“Bagaimanapun, syarikat berdepan cabaran termasuk masalah pengaliran tunai yang boleh diatasi dengan menggunakan kaedah pembayaran secara elektronik.

“Ini membantu syarikat menjimatkan sehingga berjam-jam lamanya tanpa memerlukan usaha kemasukan data serta menyediakan laporan analisis tunai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 7:23 AM
Digital NSTP Subscribe