HANYA dengan sekali lafaz, Nazim sah bergelar suami kepada Bella.
HANYA dengan sekali lafaz, Nazim sah bergelar suami kepada Bella.
PASANGAN ini bakal mengadakan majlis resepsi sebelah pihak lelaki di Johor Bahru pada 17 September ini.
PASANGAN ini bakal mengadakan majlis resepsi sebelah pihak lelaki di Johor Bahru pada 17 September ini.
Erdiehazzuan Ab Wahid


Tahap kesabaran tinggi pelakon Bella Dally,25, atau nama sebenarnya Nabilah Ali Dally membuatkan Nazim Othman,32, terbuka hati menyuntingnya sebagai suri hidup.

Pasangan pelakon yang mengikat tali pertunangan pada 14 November tahun lalu itu melangsungkan pernikahan di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah, Sabtu lalu.

Nazim atau nama sebenarnya Nushrul Alif Othman mengakui isterinya itu baik hati, berbudi bahasa dan sangat bertoleransi.

Selain saling menerima kelebihan dan kekura­ngan, Nazim berkata Bella juga sang­gup meluangkan masa menjaganya ketika di hospital.

“Dia ‘hero’ saya kerana sangat bertoleransi. Pengorbanan dan kesetiaannya buat saya yakin dia jodoh saya.

“Bella gadis yang sangat istimewa, dia sahaja boleh faham dan tahan dengan saya. Lebih terharu apabila dia sentiasa ada di saat susah senang termasuk ketika saya terlantar di hospital,” katanya usai majlis akad nikah.

Nazim turut berkongsi rasa bersyukur apabila majlis pernikahan dan resepsi di Sabah lancar dan dipermudahkan segala urusan.

“Sudah pasti saya dan isteri rasa bersyukur apabila yang dirancang berjalan lancar. Selepas menempuh pelbagai dugaan sejak lima tahun lalu kami akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

“Kami pernah berbincang mengenai perkahwinan pada tahun ketiga perkenalan namun ketika itu masing-masing belum bersedia,” katanya.

Ditanya sama ada membenarkan Bella berlakon selepas ini, Nazim berkata dia tidak akan menghalang minat isterinya namun perlu tahu batas demi menjaga nama baik keluarga.

“Kami akan bekerja seperti biasa dan saya akan terus menyokong apa yang Bella suka.

“Saya juga tidak meletakkan sebarang syarat kerana tahu dia pandai jaga diri,” katanya.

Menurut Nazim lagi, mereka belum memilih lokasi berbulan madu kerana dia terbabit dengan penggambaran drama 100 episod bertajuk Lara Aisyah yang kini bersiaran di Astro.

“Penggambaran Lara Aisyah dijangka habis pada Disember depan. Nampaknya Bella kena tunggu sehingga habis penggambaran dan barulah kami akan memilih destinasi percutian,” katanya.

Beralih soal zuriat, Nazim berkata dia menyerahkan urusan itu kepada Allah SWT.

“Kami belum ada sebarang perancangan namun andai ada rezeki dalam masa terdekat, kami bersyukur.

“Anak adalah rezeki dan anugerah terindah, jadi kami terima dengan hati terbuka,” katanya.

Sementara itu, Bella berkata, dia akan terus bergiat aktif dalam bidang lakonan dan bersedia sekiranya digandingkan dengan suami tercinta.

“Jika kami ditakdirkan berlakon dalam satu drama atau filem, kami akan pertimbangkan.

“Saya tiada masalah kerana kami pernah digandingkan sebelum ini,”katanya.

Majlis persandingan mereka berlangsung meriah walaupun diadakan secara tertutup di hotel berkenaan.

Ibarat merpati dua sejoli, Nazim yang segak mengenakan tuksedo tampil bergaya dengan pasangannya yang mengenakan busana indah rekaan Nurita Harith.

Majlis bertemakan moden kontemporari itu dihadiri kira-kira 300 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak serta kenalan rapat.

Terdahulu, pasangan pelakon ini dinikahkan Pegawai Agama Istana Negeri Ustaz Imbran Angun dengan sekali lafaz jam 9.53 pagi.

Pada majlis itu, Nazim menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 beserta tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang pengantin perempuan termasuklah cincin pernikahan, senaskhah al-Quran, sejadah dan set mandian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 9:45 AM