PROSES pengasingan komponen kecil yang dilakukan secara manual oleh pekerja.
PROSES pengasingan komponen kecil yang dilakukan secara manual oleh pekerja.
PEKERJA Shan Poornam menerangkan proses pembersihan data telefon bimbit sebelum proses pengasingan komponen.
PEKERJA Shan Poornam menerangkan proses pembersihan data telefon bimbit sebelum proses pengasingan komponen.
SELVAKUMAR menunjukkan motherboard yang turut diproses sebagai e-sisa.
SELVAKUMAR menunjukkan motherboard yang turut diproses sebagai e-sisa.
PEKERJA Shan Poornam mengasingkan komponen pada cakera keras komputer.
PEKERJA Shan Poornam mengasingkan komponen pada cakera keras komputer.
PEKERJA Shan Poornam melakukan aktiviti kajian untuk memastikan logam diperoleh mengikut standard.
PEKERJA Shan Poornam melakukan aktiviti kajian untuk memastikan logam diperoleh mengikut standard.
DARI kiri, wakil Malaysia Technical Standards Forum Sdn Bhd Reza Mohammad Aidit, Badaruzzaman, Selvakumar dan Ketua Pegawai Operasi Shan Poornam Sdn Bhd Rose Kuan menunjukkan plak kempen Mobile e-waste di Kilang Shan Poornam, Perai.
DARI kiri, wakil Malaysia Technical Standards Forum Sdn Bhd Reza Mohammad Aidit, Badaruzzaman, Selvakumar dan Ketua Pegawai Operasi Shan Poornam Sdn Bhd Rose Kuan menunjukkan plak kempen Mobile e-waste di Kilang Shan Poornam, Perai.
PENGURUS Jualan Utara, Celcom Mobile Sdn Bhd Akryl Azam Arudin (tengah) menunjukkan telefon bimbit yang diperoleh daripada kotak Mobile e-waste di cawangan Celcom, Ipoh.
PENGURUS Jualan Utara, Celcom Mobile Sdn Bhd Akryl Azam Arudin (tengah) menunjukkan telefon bimbit yang diperoleh daripada kotak Mobile e-waste di cawangan Celcom, Ipoh.
BADARUZZAMAN dan Ketua Projek Kerajaan, Digi Telecommunication Sdn Bhd Alex Kuik Teck Seng bersama kotak Mobile e-waste di cawangan Digi, Ipoh.
BADARUZZAMAN dan Ketua Projek Kerajaan, Digi Telecommunication Sdn Bhd Alex Kuik Teck Seng bersama kotak Mobile e-waste di cawangan Digi, Ipoh.
Hafiz Ithnin


Setiap tahun pelbagai syarikat elektronik memperkenalkan model baru telefon pintar untuk dijual di pasaran antarabangsa dan Malaysia yang juga dilihat pasaran penting bagi pemain industri berkenaan memandangkan pengguna di sini aktif di dalam aktiviti media sosial.

Di sebalik pengenalan peranti itu, apakah nasib telefon bimbit lama terutama untuk peranti yang sudah rosak? Ada antara kita yang terus menyimpan kerana mungkin ia menjadi memori berharga secara peribadi atau ada juga membuangnya terus ke bakul sampah.

Sekiranya dibuang ke dalam bakul sampah, sudah semestinya pengguna tidak terfikir apa yang bakal berlaku atau kesan berbuat demikian kerana secara amnya kita faham ia akan dilupuskan di tempat pengumpulan sampah.

Hakikatnya, komponen elektronik di dalam telefon bimbit mengandungi bahan pencemar seperti plumbum, kadmium dan merkuri yang tidak boleh terurai secara semula jadi yang akhirnya menjadi pembunuh senyap.

Kadmium misalnya, boleh mengakibatkan penyakit paru-paru, kerosakan buah pinggang serta penyakit tulang manakala merkuri mampu merosakkan kulit dan menyebabkan kemerosotan ingatan.

Kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat bagi sesebuah telefon bimbit adalah antara 18 dan 24 bulan.

Statistik daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd pula menyatakan 65.7 juta telefon bimbit didaftarkan di negara ini antara tahun 2009 dan 2014 yang kini boleh dianggap sebagai e-sisa memandangkan jangka hayat sesebuah telefon bimbit dianggarkan sekitar 18 hingga 24 bulan saja.

Jumlah itu yang berkemungkinan masih tersimpan di kediaman atau dibuang di tempat pelupusan sampah, belum lagi mengambil kira telefon bimbit yang dibawa masuk ke negara ini tanpa rekod sah.

Baru-baru ini, [email protected] berpeluang mengikuti taklimat media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Pulau Pinang mengenai aktiviti pengurusan telefon bimbit lama dan peranti elektronik yang boleh dikitar semula.

Taklimat itu adalah rentetan daripada pengenalan Mobile e-waste pada Ogos tahun lalu apabila kempen itu menggalakkan orang ramai ‘mendermakan’ telefon bimbit yang tidak boleh digunakan atau rosak ke dalam kotak kitar semula yang disediakan oleh suruhanjaya itu.

Ketika ini, terdapat 74 kotak yang disediakan oleh SKMM di lokasi tertentu seperti cawangan syarikat telekomunikasi dan Pusat Internet 1Malaysia yang terpilih.

Setakat Julai lalu, pihaknya memungut 5,200 telefon bimbit dan 170 kilogram pelbagai aksesori elektronik dikumpulkan dan diserahkan kepada pusat pengurusan sisa elektronik terbuang atau di kenali sebagai e-sisa.

Pengarah Bahagian Pembangunan Teknologi, Teknologi dan Masyarakat SKMM Badaruzzaman Mohd Nor berkata, secara umumnya di dalam sesebuah telefon bimbit terdapat pelbagai komponen eleketronik yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar sekiranya dibuang atau tidak diuruskan dengan baik.

Beliau berkata, bateri yang terdapat pada telefon bimbit yang mengandungi sel bateri juga berbahaya kepada pengguna sekiranya dibuang begitu saja kerana bahan kimia yang terdapat di dalamnya boleh mencemarkan alam sekitar.

“Jika kita mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melaksanakan aktiviti pengurusan telefon bimbit lama ini dengan baik ia bukan saja memberi manfaat kesihatan kepada kita dan alam sekitar tetapi mampu mengembangkan industri pengurusan bahan elektronik di Malaysia.

“Di dalam sesebuah telefon bimbing yang mengandungi pelbagai komponen elektrik sebenarnya boleh diproses dan dikumpulkan untuk menghasilkan logam bernilai tinggi,” katanya kepada [email protected].

Badaruzzaman berkata, kotak kitar yang disediakan SKMM bukan saja menerima telefon bimbit yang rosak malah pelbagai aksesori elektronik lain seperti alat pengecas dan pemain musik elektronik.

Katanya, bagi menggalakkan orang ramai ‘mendermakan’ telefon bimbit mereka, pemain industri terdiri daripada syarikat telekomunikasi yang bekerjasama dengan SKMM memberikan beberapa ganjaran antaranya beg kitar semula dan ada di antara syarikat telekomunikasi memberi potongan harga untuk pembelian aksesori.

Ketika sesi taklimat itu, wakil media berpeluang melawat kilang pengurusan e-sisa, Shan Poornam Sdn Bhd di Perai, Pulau Pinang untuk melihat cara pemprosesan pelbagai peratan elektronik yang boleh dikitar semula termasuk telefon bimbit.

Dalam sesi lawatan itu, kumpulan media dapat melihat proses untuk mendapatkan komponen peralatan elektronik termasuk telefon bimbit yang boleh menghasilkan pelbagai logam bernilai tinggi.

Pengarah Urusan Shan Poornam S Selvakumar berkata, pihaknya memproses 5,000 tan pelbagai produk elektronik sebulan yang mampu menghasilkan antaranya 35 kilogram emas, platinum 15 kilogram dan 50 kilogram perak.

Katanya, bahan bernilai tinggi yang dihasilkannya akan dijual di pasaran tempatan, Jepun dan Jerman manakala, China serta Korea adalah sasaran pasarannya pada masa depan.

“Bagi mereka yang memberi bahan elektronik seperti telefon bimbit yang rosak kepada Shan Poornam, kami akan membelinya dengan harga berpatutan dan setakat ini jumlah telefon bimbit yang diproses di kilang masih dalam kadar rendah berbanding perkakasan komputer lain.

“Sebenarnya, kesedaran bagi mengitar semula bahan elektronik tidak berfungsi penting yang bukan saja mampu menjana pendapatan pemain industri seperti kami, malah memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sekali gus satu langkah mengelakkan bahan kimia yang terkandung di dalamnya mencemari alam sekitar,” katanya.

Selvakumar berkata, pihaknya juga memperuntukkan sejumlah pelaburan tinggi bagi membeli pelbagai mesin yang boleh memproses sisa peralatan elektronik dan sistem bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

Katanya, kilangnya juga terdapat bilik pembangunan kajian bagi memastikan logam yang dihasilkan berkualiti dan setaraf dengan piawaian pasaran.

“Bagi memproses sisa elektronik ini memerlukan ketelitian bagi mengelakkan berlaku pencemaran udara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 11:45 AM