NAIDU (berkot) bersama karyawan dan artis ketika sidang media MICA 2016.
Michelle Gun


Buat julung kali, Malaysian Indian Cinema Awards (MICA) 2016 diperkenalkan bagi mengiktiraf penggiat seni dan karya berbahasa Tamil di negara ini.

Penganugerahan ini mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan 10 pertubuhan bukan kerajaan dengan memperkenalkan 36 kategori termasuk penyampai radio dan televisyen.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MICA RG Naidu berkata, industri filem India tanah air berkembang maju sejak 10 tahun lalu dan acara itu wajar diadakan bagi menghargai jasa penggiat seni.

“Awalnya ada pihak mempersoalkan keperluan menganjurkan acara ini tetapi ada juga yang menyokong.

“Selepas enam bulan dirancang, akhirnya MICA bakal direalisasikan dan saya berharap ia menjadi acara tahunan,” katanya pada sidang media baru-baru ini.

Menurut Naidu, karyawan berbangsa lain dialu-alukan menghantar filem untuk dipertandingkan namun dengan syarat kandungan yang dipaparkan dalam bahasa Tamil.

“Filem yang ditayangkan tahun lalu boleh dihantar untuk dipertandingkan. Setakat ini, kami sudah menerima sembilan penyertaan filem Tamil iaitu Iravan, Vera Vazhi Ille, Kid, Agileswari, Pinnokom, Avana Nee, Maravan, Muthukumar Wanted dan Nachatira,” katanya.

Naidu berkata, pemenang setiap kategori akan dinilai empat panel juri dari Malaysia, Singapura, Sri Lanka dan India.

“Acara berprestij ini turut mendapat tajaan barang kemas bernilai RM70,000 bagi 12 kategori terpilih.

“Setiap pemenang akan membawa pulang trofi berserta sijil penghargaan. Pihak kami masih berusaha mencari penaja untuk hadiah wang tunai,” katanya.

Naidu berkata, orang awam diberi kuasa memilih pemenang kategori filem, pelakon lelaki dan wanita paling popular.

“Terdapat tujuh anugerah bagi kategori filem pendek manakala empat lagi penyampai radio dan televisyen,” katanya.

Malam kemuncak MICA 2016 dijangka berlangsung sekitar Disember ini dan maklumat lanjut lokasi serta tarikh acara itu akan diumumkan pada sidang media kedua nanti.

Maklumat lanjut MICA 2016 boleh diperolehi dengan melayari www.micaawards.com.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 11:37 AM