KERATAN berita yang disiarkan di myMetro pada 25 Ogos.
Shamsul Munir Safini


Bukit Mertajam: Geng 'Mat Puling' yang menyamun pensyarah sehingga kereta pendidik itu terbabas ke sawah, Ogos lalu, dicekup polis di sekitar Kulim, Kedah dan daerah ini.

Lima suspek berusia 21 hingga 37 tahun, termasuk wanita dicekup selepas terbabit dalam beberapa siri kejadian samun di Kedah dan Perak, antara 9 hingga 10 September.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, berkata wanita 29 yang juga isteri kepada Mat Puling, 27, dicekup di Padang Serai, Kulim.

Katanya, Mat Puling dan tiga lagi lelaki lagi dicekup di Bukit Mertajam.

Beliau berkata, hasil penahanan suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal dan lima kes samun sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perak membabitkan kerugian RM100,000.

Katanya, Mat Puling mempunyai 16 rekod jenayah, baru sahaja bebas daripada hukuman penjara Mac lalu.

Dalam kejadian 8.30 pagi, 23 Ogos lalu, pensyarah wanita, 34, bersama dua anaknya cedera serta kerugian lebih RM5,000 selepas disamun sejurus terbabas ke sawah di Jalan Kubang Semang, Permatang Pauh.

Dalam kejadian itu mangsa, Asmalia Zanal, bersama dua anaknya berusia tiga dan lapan tahun dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi Mara (UITM).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2016 @ 1:10 PM