BERNAMA

Nibong Tebal: Polis menahan seorang remaja lelaki bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki disamun dan mengalami kecederaan selepas terjatuh di Taman Seri Emas, Permatang Tok Mahat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata, remaja lelaki berusia 14 tahun dan tidak bersekolah itu ditahan di Taman Harapan, Permatang Tok Mahat di sini, kira-kira 1 tengah hari, semalam.

“Dalam kejadian 2.45 petang semalam, mangsa berusia 11 tahun sedang bermain tab di hadapan rumahnya di Taman Harapan, sebelum dua remaja lelaki dikenalinya mengajak mangsa menaiki motosikal," katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa dibawa ke Taman Seri Emas iaitu kira-kira lima kilometer dari rumahnya dan kemudian merampas tab milik mangsa sebelum berlaku tarik menarik antara suspek dengan mangsa sebelum kanak-kanak itu terjatuh dan suspek melarikan diri.

Mangsa yang cedera di pinggang, bahu dan siku serta lebam di lutut mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Parit Buntar, Perak.

Katanya, remaja berkenaan ditahan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan seorang lagi remaja lelaki sedang diburu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 12:40 AM