ORANG ramai melihat tempat kejadian berhampiran Multan. - AFP

Multan (Pakistan): Sekurang-kurangnya enam terbunuh sementara lebih 100 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang merempuh kereta api barang yang baru melanggar mati seorang lelaki berhampiran bandar Multan, semalam.

Kemalangan awal pagi itu berlaku berhampiran bandar Sher Khan di wilayah Punjab, 15 minit selepas kereta api barang itu berhenti selepas melanggar mangsa lelaki berkenaan di atas landasan, kata pegawai kereta api, Saima Bashir.

Menurutnya, pemandu kereta api barang itu turun untuk mengalihkan mayat lelaki yang dilanggar ketika melintas landasan dan kemudian dilanggar dari belakang oleh kereta api penumpang.

“Pemandu kereta api penumpang berkenaan tidak melihat tanda isyarat merah ketika kejadian,” kata Saima.

Pihak berkuasa mengarahkan siasatan dijalankan bagi menentukan punca sebenar kemalangan, tetapi siasatan awal menunjukkan pemandu kereta api penumpang bersalah.

Pada masa sama, polis kereta api yang bertugas, Munir Chishti menolak kemungkinan kejadian itu akibat sabotaj sebaliknya berkata, ia sekadar satu kemalangan.

Sementara itu, pegawai kanan tentera Mejar Jeneral Mohammad Arif berkata, anggota tentera dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu mengawal lalu lintas kereta api lain dan memindahkan mangsa yang cedera ke hospital.

Menurut anggota penyelamat, Kalim Ullah, enam mayat dan lebih 100 mangsa yang cedera dibawa ke hospital dengan ada antara mereka dalam keadaan kritikal.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Chaudhry Nisar Ali Khan melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terkorban dan cedera.

Kemalangan kereta api perkara biasa di Pakistan, di mana landasan dan jambatan tidak diselenggara dengan baik. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 11:49 AM