SIMULASI lakonan serangan pengganas di Auditorium Muzium Negara menggamatkan suasana menjelang detik sambutan Hari Kebangsaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Teruja tapi cemas. Perasaan bercampur-baur dirasai penulis kerana ia pengalaman pertama bermalam di Muzium Negara sambil dikelilingi khazanah dan harta peninggalan lampau yang dipamerkan.

Cemas kerana bimbang kejadian menyeramkan mungkin berlaku tetapi pada masa sama teruja selepas berimaginasi pengalaman bermalam di Muzium Negara seperti dalam filem ‘Night at the Museum’.

Dapat melihat patung ‘bernyawa’ dan berkomunikasi dengan ‘mereka’ sesuatu yang dinanti-nantikan. Bagaimanapun, imaginasi tetap imaginasi.

Malam berlalu dengan pantas dan tiada satu pun kejadian pelik atau mengejutkan berlaku.

Seramai 1,681 peserta terdiri daripada pelajar sekolah menengah turut menyertai program itu tahun ini. Acara berlangsung serentak di 21 muzium seluruh negara sempena Hari Kebangsaan ke-59.

Program Perdana Bermalam Di Muzium kali kelapan anjuran Jabatan Muzium Negara itu memperlihatkan peningkatan jumlah peserta dan tahun ini mencatatkan jumlah tertinggi.

Program dua hari itu bermula jam 3 petang pada 30 Ogos dengan pendaftaran peserta sebelum diteruskan majlis perasmian disempurnakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

Peserta lelaki tidur di Galeri A iaitu ruang pameran zaman prasejarah, manakala pelajar perempuan ditempatkan di Galeri B iaitu dewan pameran sejarah kerajaan Melayu.

Walaupun suasana di Galeri B terasa berbeza dan ramai peserta sukar tidur pada awalnya, namun akibat keletihan semua mereka akhirnya nyenyak tanpa sebarang gangguan sebelum bangun pada jam 6 pagi keesokannya.

Program itu turut diisi dengan beberapa acara seperti mencari harta karun dalam gelap, simulasi lakonan ditawan pengganas, mengira detik sambutan Hari Kebangsaan tepat jam 12 tengah malam dan binaan kreatif peserta menggunakan barangan kitar semula.

Ia bukan saja memberikan pengalaman baru kepada pelajar, malah turut menyedarkan mereka supaya cintakan negara selain menaikkan semangat perpaduan yang menjadi teras keharmonian Malaysia.

Nurul Fazlin Syuhada Fazly, 16, dari SMK Seksyen 5 Wangsa Maju berkata, aktiviti bermalam di muzium memberi pengalaman baru selain memupuk semangat cintakan tanah air.

“Ini kali pertama saya menyertai program ini dan seronok kerana semua aktivitinya bukan saja menarik, malah dapat memupuk semangat patriotisme.

“Saya lebih menghargai keharmonian sedia ada, selain bangga bergelar rakyat Malaysia dan berharap kepelbagaian kaum di negara kita menjadikan Malaysia lebih unik dan kuat,” katanya.

Peserta dari dari Kolej Vokasional Sepang Muhammad Mustaqim Mohsar, 16, berkata program itu menjadi platform untuk menambah kenalan berbilang kaum dari sekolah berlainan.

“Kami dibahagikan mengikut kumpulan dan setiap kumpulan terdiri daripada sekolah dan latar belakang berbeza. Ia membuka peluang kepada kami menambah kenalan selain berkongsi pendapat.

“Setiap program menjadikan kami lebih erat dan pasti dapat berkongsi pengalaman lain walaupun selepas program ini tamat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 1:22 PM