ISWARI menyampaikan sumbangan kepada Pak Din.
ISWARI menyampaikan sumbangan kepada Pak Din.
Mohd Sah Muda


Penderitaan seorang warga emas uzur Zainindin Maarof, 78, yang tinggal di pondok usang di dalam kawasan Buku Hijau, Kampung Pengkalan Batu, Mersing mendapat perhatian kelab motosikal Universal Bikers Johor Bahru.

Dia dikunjungi presiden kelab itu Iswari Akair bersama enam ahlinya dan Ketua Kampung Pengkalan Batu Salamon Salieo untuk menyampaikan sumbangan wang tunai.

Nuansa pernah menyiarkan penderitaan Zainindin atau lebih dikenali sebagai Pak Din yang menumpang berteduh di pondok usang atas belas kasihan seorang penduduk kampung berkenaan sejak 13 tahun lalu.

Tanpa bekalan air dan elektrik, pondok usang itu terletak kira-kira satu setengah kilometer dari kampung berkenaan dan perlu melalui jalan tanah merah yang hanya boleh dilalui motosikal.

Pak Din sebelum ini pernah tinggal di Desa Bina Diri (DBD), sebuah pusat pemulihan kutu rayau di Kampung Sawah Datuk, Mersing, selama dua tahun.

Bagaimanapun, dia dikeluarkan pihak berkenaan kerana sudah boleh berdikari.

Pak Din yang berasal dari Suluh Rantau, Negeri Sembilan mempunyai dua adik perempuan yang sudah berkeluarga dan pernah tinggal di Kuala Lumpur sebagai pemandu lori, namun terpaksa berhenti disebabkan masalah kesihatan.

Dia kini uzur dan tidak boleh berjalan seperti biasa kerana kaki kirinya bengkak sehingga hidup mengharapkan belas kasihan orang ramai termasuk pemilik pondok itu.

Menurut Iswari, dia bersama lima lagi ahlinya menunggang tiga motosikal dari Johor Bahru kerana bersimpati dengan nasib warga emas berkenaan.

Selain Pak Din, kelab berkenaan menyampaikan sumbangan kepada tiga lagi penduduk kurang bernasib baik di Kampung Pengkalan Batu.

Mereka ialah Rahmat Daud, 48, yang terkena angin ahmar sejak lapan bulan lalu, Orang Kelainan Upaya (OKU) Arman Basri, 57, dan ibu tunggal, Wan Emas Kassim, 80.

Menurutnya, sumbangan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung mereka.

Kelab motor itu mempunyai 40 ahli membabitkan ahli perniagaan, pensyarah, pegawai kerajaan, kontraktor dan kerjaya profesional lain.

Setiap bulan kelab itu menziarahi beberapa daerah di Johor dan luar untuk menyampaikan sumbangan kepada asnaf memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2016 @ 1:42 PM