GAMBAR fail 14 Mac 2016 menunjukkan seorang wanita menangis ketika menyeberangi sungai ke Macedonia. - Agensi
GAMBAR fail 14 Mac 2016 menunjukkan seorang wanita menangis ketika menyeberangi sungai ke Macedonia. - Agensi
AP

Athens: Lapan pemohon suaka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Macedonia kerana mengusir mereka kembali ke Greece selepas berjaya melepasi sempadannya, awal tahun ini.

Kumpulan sokongan pendatang ProAsyl berkata, ia akan membantu kumpulan itu memfailkan aduan kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah.

Jurucakap kumpulan yang berpusat di Frankfurt, Jerman itu, Karl Kopp berkata kelmarin, pemohon suaka terbabit berasal dari Syria, Iraq dan Afghanistan. Bagaimanapun dia tidak mendedahkan nama-nama mereka.

“Semua pemohon tahu yang mereka mungkin tidak akan berjaya, tetapi mana tahu jika keputusannya positif, ia mungkin dapat membantu pelarian lain pada masa depan,” kata Kopp kepada The Associated Press.

Kejadian 14 Mac lalu itu berlaku di sempadan Greece-Macedonia apabila beratus-ratus pendatang dan pelarian yang cuba menyeberang ditahan dan kemudian diusir. Kumpulan berkenaan sebelum itu sudah lama terkandas di bandar Idomeni, Greece, yang terletak di sempadan dua negara itu.

Satu rakaman televisyen antarabangsa menunjukkan sukarelawan Greece dan luar negara membantu pendatang menyeberang sungai dengan ramai yang memegang kanak-kanak serta membawa barangan di atas kepala.

“Orang ramai menggelarnya ‘perarakan harapan’ tetapi sebenarnya mereka semua patah semangat ketika itu. Kami tidak lupa apa yang berlaku.

“Keganasan digunakan dan orang ramai diusir secara haram. Ada orang yang kelainan upaya serta memerlukan bantuan dalam kumpulan berkenaan,” kata Kopp.

Macedonia yang menggunakan tenteranya untuk membina pagar berduri di sepanjang sempadan dengan Greece berkata, mereka mempunyai hak untuk melindungi sempadannya dan menafikan menggunakan kekerasan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:01 AM