SAM bersama Maleeq.
SAM bersama Maleeq.
Syafil Syazwan Jefri


Walaupun sibuk dengan persediaan sempena Konsert Bunkface 10 Tahun menjelang Disember ini, vokalis band itu, Sam mengakui teruja dan tetap memberi keutamaan kepada keluarganya.

Sam, 29, yang baru saja menerima kehadiran cahaya mata pertamanya pada 12 September lalu meluahkan rasa gembira dan kini teruja dengan tanggungjawab barunya sebagai bapa.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Sehingga hari ini, isteri dan anak saya dalam keadaan sihat. Tentunya saya gembira dan teruja dengan anugerah daripada Allah ini. Buat masa sekarang, isteri saya menjalani tempoh berpantang di Kuala Lumpur dan dijaga ibunya,” katanya.

Bayi lelaki yang diberi nama, Maleeq Shamsul Annuar itu dilahirkan di Pusat Perubatan Pantai Bangsar, hasil perkahwinan Sam atau nama sebenarnya, Shamsul Annuar Mohd Baharom dengan isteri, Aida Azira Hussin, 29.

Ditanya perasaannya apabila memegang satu lagi tanggungjawab, Sam berasakan itu adalah satu lagi fasa hidupnya dan akan menjaga keluarganya dengan baik.

“Semuanya saya serahkan kepada Allah kerana dia menganugerahkan kami cahaya mata. Jadi, Insya-Allah saya akan menjaga keluarga saya sebaik mungkin,” katanya lagi.

Ditanya sama ada dia dan isteri ada merancang untuk cahaya mata seterusnya, Sam memberitahu kedua-dua mereka belum ada perancangan kerana semuanya masih terlalu awal.

“Terlalu awal untuk saya bercakap soal menambah bilangan anak. Apa yang penting, saya dan Aida akan bersama-sama membesarkan Maleeq sebaik mungkin,” katanya lagi.

Pada hari kelahiran anaknya, Sam berkongsi gambar dengan lebih 100,000 pengikutnya di laman Instagram dan mencatat lebih 12,000 ‘like’.

Rata-rata di ruangan komen, peminat dan kenalan mengucapkan tahniah kerana kelahiran cahaya mata sulungnya itu.

Bercerita serba sedikit mengenai konsert yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini, Sam memberitahu, dia dan anggota Bunkface kini giat membuat persediaan.

“Fokus kami sekarang ialah membuat persediaan daripada pelbagai sudut sekali gus memberikan persembahan terbaik kepada peminat Bunkface. Sehingga kini, persediaan kami berjalan lancar dan sudah siap sebanyak 50 peratus,” katanya.

Ditanya apakah yang boleh dijangka peminat Bunkface pada konsert kali ini, Sam ada jawapannya.

“Apa yang boleh saya kongsikan, konsert kali ini bertaraf antarabangsa dengan sistem bunyi yang berkualiti. Itu juga sedikit sebanyak akan membantu kami untuk memberikan persembahan terbaik kepada peminat.

“Secara keseluruhan, saya mahu peminat yang membeli tiket berasa berbaloi mengeluarkan wang untuk hadir ke konsert ini,” katanya.

Tentunya konsert kali ini bakal mengubat kerinduan peminat Bunkface yang sentiasa menanti-nantikan persembahan mantap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:06 AM