PENCAHAYAAN sempurna membantu ruang tamu tampil lebih eksklusif.
PENCAHAYAAN sempurna membantu ruang tamu tampil lebih eksklusif.
Faizal Zain

Salam deko. Minggu ini saya ingin berkongsi maklumat mengenai fungsi lampu dalam hiasan dalaman. Lampu hiasan secara langsung memberi impak tambahan dalam dekorasi berbanding lampu lekap siling yang biasa.

Peranannya cukup besar khususnya dalam pencahayaan termasuk rumah, pejabat, pusat komersial seperti hotel atau pusat beli-belah.

Malah, lampu hiasan juga ditawarkan dalam pelbagai material termasuk besi, bahan asli seperti rotan dan buluh, plastik, kayu dan berfabrik. Ia turut terbahagi pelbagai kegunaan termasuk lampu gantung, siling, lantai, meja dan laman.

Bagi memilih lampu hiasan sesuai di sesuatu ruang, ada beberapa jenis yang utama, antaranya:

Lampu hiasan siling

Lampu ini sumber utama yang menerangi ruang selain cahaya matahari ketika siang. Biasanya lampu ini diletakkan pada siling di tengah ruang dan memiliki cahaya yang cukup luas. Ia bagi penyebaran cahaya ke seluruh ruang terutama jika ruang luas.

Lampu kerja atau bacaan

Lampu ini biasanya diletakkan di atas meja, lantai atau dilekatkan pada dinding. Bagi lampu kerja, sebaiknya pilih yang memiliki cahaya terang bagi memenuhi keperluan ruang selain warna cahaya sesuai adalah putih.

Lampu lantai

Lampu ini dilengkapi tema tertentu dan cahayanya tidak terlalu terang. Ia bukanlah sumber cahaya utama, sebaliknya hanya sebagai pelengkap dekorasi. Lampu ini menambah kesan cahaya yang dapat dihasilkan menggunakan lampu berdiri di atas meja atau dari kesan ruang lain.

Lampu meja

Selalunya lampu ini bersaiz lebih kecil dan sumber cahayanya juga malap dan kecil. Ia juga dikenali sebagai lampu tidur dan biasanya tidak memberikan kesan cahaya yang luas, sebaliknya hanya kesan cahaya pembantu dalam menerangi sesebuah ruang kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2016 @ 5:15 AM