YOUNG Ji.
Amirul Haswendy Ashari.


Pada Selasa lalu, Heo Young Ji, bekas anggota kumpulan Kpop wanita popular, Kara muncul sebagai tetamu undangan stesen radio SBS Power FM bagi menjayakan program Kim Chang Ryul’s Old School.

Dalam temu bual dijalankan bersama penyampai radio bertugas, Young Ji mendedahkan, walaupun kumpulan pernah dianggotainya itu sudah dibubarkan tetapi dia masih kekal berhubung dengan ahli Kara.

Lebih mengejutkan apabila penyanyi popular dan jelita itu berkata, Kara tidak pernah berpecah walaupun timbul dakwaan mengatakan Kara sudah dibubarkan awal Januari lalu.

“Kara tidak pernah dibubarkan! Siapa kata? Saya sentiasa berhubung dengan menghantar dan menerima pesanan menerusi sistem pesanan ringkas (sms) daripada ahli Kara lain.

“Saya sentiasa menyokong dengan menonton drama lakonan mereka. Kami semua gembira. Walaupun sibuk dengan aktiviti, saya tidak keberatan dan bersedia untuk bersama-sama dengan mereka lagi sekiranya ahli Kara yang lain okey,” jelas Young Ji.

Beralih topik mengenai ketidakhadirannya bersama anggota lain sekiranya ada persembahan membabitkan Kara, Young Ji berkata, andai peminat sentiasa menunggu dengan penuh harapan pasti satu hari dia muncul.

Namun pendedahan Young Ji mengenai bekas kumpulannya tidak pernah dibubarkan berbeza dengan laporan yang mendedahkan, Goo Hara, Han Seungyeon dan Park Yuri menyertai agensi lain selepas kontrak mereka tamat.

Disebabkan itu juga, spekulasi awal Kara dibubarkan semakin panas dan mendapat perhatian besar dalam kalangan peminat. Malah dakwaan itu turut disokong DSP Media melalui satu kenyataan akhbar.

Dalam kenyataan akhbar yang diedarkan kepada pihak media terbabit, kontrak tiga ahli Kara (kecuali Young Ji) tamat pada 15 Januari lalu dan mereka tidak lagi bersama pihak agensi yang menguruskan kerjaya seni mereka sebelum ini.

Mereka difahamkan mahu mencuba nasib di tempat baru dan mencipta peluang sendiri selepas beberapa tahun bersama DSP Media.

Hanya Young Ji kekal bersama DSP Media kerana masih ada kontrak dengan agensi itu sebagai artis solo. Sejak itu, pihak agensi mengatur pelbagai perancangan untuk Young Ji.

Dalam pada itu, Young Ji turut mendedahkan dia dilamar seorang rakan pelakon dalam drama pernah dibintanginya. Perkara itu berlaku sewaktu acara makan malam bersama kru Oh Hae Young Again, sempena tamat penggambaran.

Dia yang bergandingan bersama Huh Jung Min dalam drama itu berkata, pada acara makan malam terbabit, Jung Min berada dalam keadaan mabuk.

“Dia secara tiba-tiba bangun dan membuat pengumuman di depan tetamu lain. Dia mengaku sukakan saya! Dia berkata mempunyai wang yang sudah lama disimpan dan mahu berkahwin dengan saya,” katanya malu.

Jung Min yang kebetulan turut hadir sebagai tetamu rancangan di stesen radio terbabit terkejut dan mengaku tidak ingat apa yang berlaku pada malam itu.

Malah Jung Min bertanya pula, benarkah dia membuat kenyataan sudah menyimpan wang untuk berkahwin dengan Young Ji.

“Ya! Kamu kata, Oppa sudah menyimpan wang sebanyak 30 juta won (RM111,174). Eric dan kru lain paksa saya untuk berkata ya pada lamaran kamu,” dedah Young Ji ketawa.

Namun, Young Ji mendedahkan dia menolak lamaran itu dan Jung Min membalas dengan rasa malu, pasti dia akan lupa apa yang berlaku keesokan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:02 AM