Amirul Haswendy Ashari


Filem genre Islamik bukan baru di Indonesia. Antara yang popular dan mendapat sambutan di negara seberang sebelum ini ialah Ayat-Ayat Cinta, Sang Kiyai, Ketika Cinta Bertasbih dan Negeri Lima Menara.

Isi cerita dalam filem berkenaan dihasilkan untuk mendekatkan diri dengan agama Islam, tetapi cara penceritaan banyak diselit sisi komersial seperti romantis, aksi dan komedi.

Isi filem Kalam Kalam Langit dan penceritaannya lebih menjurus ke arah cintakan al-Quran. Elemen cinta dan drama kehidupan sekadar aksesori tambahan untuk mencantikkan jalan cerita.

Dari segi lakonan, Dimas Seto dilihat terlalu mencuba menjadi Jafar, pelajar sekolah pondok yang berbakat dalam taranum tetapi berdepan dengan isu cinta dan keluarga.

Ada ketika Jafar terlalu ‘sopan’ yang tampak dibuat-buat dan ada kala sisi ‘gedik’ muncul tanpa sengaja. Sekali gus ia memberi tanggapan seolah Dimas masih keliru arah mana dia mahu membawa Jafar dalam plot.

Begitu juga watak Azizah dibawakan Meriza Febriani. Meriza tidak terlalu menonjol dan wataknya seakan mudah dilupakan.

Ikutkan di segi permainan lakonan, Meriza mampu memberi lontaran rasa lebih besar pada watak Azizah.

Berbeza dengan watak Anisa lakonan Elyzia Mulachela. Mungkin disebabkan fizikalnya yang kecil dan wajah keanak-anakan, Elyzia berjaya memberikan sesuatu yang menarik di segi tontonan pada watak itu.

Menilai sudut lakon layar, filem ini tidak menunggu lama untuk setiap plot dikembangkan. Malah di segi premis filem, ia lebih realistik terutama tatkala menggunakan lokasi sebenar yang kena dengan jalan ceritanya.

Aspek teknikal lain seperti sinematografi, ia menggunakan sehabis baik lokasi menarik tetapi dianggap baru di Pulau Lombok. Menampilkan sisi berbeza pulau peranginan popular itu yang terkenal dengan jolokan Pulau Seribu Masjid.

Babak di atas bukit, tepi pantai, kawasan sekolah pondok dan rumah kampung menjadikan filem ini dekat dengan penonton tempatan.

Jika anda mencari sebuah filem yang membuatkan diri lebih dekat dengan kalam Allah dan mengagungkan alam semula jadi, Kalam Kalam Langit adalah filem terbaik.

INFO

FILEM: Kalam Kalam Langit

ARAHAN: Tarmizi Abka

PELAKON: Dimas Seto, Meriza Febriani, Elyzia Mulachela, Ibnu Jamil

GENRE: Drama

TAYANGAN: 15 September 2016

ULASAN: Amirul Haswendy Ashari

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:03 AM