FARID Kamil.
Norhayati Nordin


Lebih sedekad menimba pengalaman dan membina karier sebagai pelakon memberikan kelebihan kepada aktor Farid Kamil, 36, untuk menjiwai sesuatu karakter.

Farid yang ditemui ketika pelancaran filem adaptasi novel Tumbiruo: Penunggu Rimba baru-baru ini berkata, dia bukan pembaca novel.

Namun itu tidak bermakna dia akan ambil mudah dalam memberikan hasil kerja terbaik untuk karya dibintanginya.

“Saya sangat komited dalam setiap tawaran berlakon diterima. Walaupun, saya bukan golongan pembaca novel tegar, saya ada cara sendiri untuk memahami sesuatu karakter itu,” katanya.

Tumbiruo bukan filem adaptasi pertama dari novel popular yang dibintangi Farid. Suami kepada aktres Diana Danielle ini juga pernah membintangi filem diangkat dari karya ditulis Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan.

“Sebenarnya, sejak membintangi filem Lagenda Budak Setan lagi, saya tidak pernah membaca novel yang diadaptasi. Bagaimanapun, saya cuba memahami tuntutan mahupun kehendak karakter Kasyah yang dilakonkan dalam Lagenda Budak Setan berdasarkan skrip ditulis.

“Saya lebih selesa memilih untuk memahamkan skrip kerana mahu melakonkan karakter itu dengan cara sendiri tanpa dibayangi watak dalam novel,” katanya.

Menurut Farid lagi, dia memilih untuk tidak membaca novel kerana enggan terikut dengan watak digambarkan.

“Bagi saya, menjadikan skrip sebagai sumber rujukan sudah cukup untuk memahami kehendak karakter dilakonkan itu. Ditambah pula, saya suka berbincang dan mendapatkan bimbingan pengarah. Ia akan lebih melancarkan kerja,” katanya.

Melakonkan watak Amirudin yang juga kembar kepada Ejim atau Tumbiruo lakonan Zul Ariffin, bapa kepada dua anak ini berkata dia sangat teruja.

Menurut anak jati Kedah ini, dia sangat tertarik untuk membabitkan diri dalam filem Tumbiruo: Penunggu Rimba kerana kagum dengan novel hasil tulisan Ramli Awang Murshid itu.

“Daripada apa yang saya tahu, novel Tumbiruo: Penunggu Rimba tidak saja hangat dan laris di pasaran, jalan ceritanya juga sangat bagus.

“Malah, untuk merealisasikan naskhah novel hebat ini kepada filem, tanggungjawab pengarahan digalas sutradara berpengalaman, Nasir Jani.

“Saya sangat suka dan menghormati karya filem pernah dihasilkan Nasir. Jadi, sukar untuk saya lepaskan peluang bekerja dengan beliau,” katanya.

Selain itu, Farid berkata, dia turut bersemangat menimba pengalaman bekerja dengan pengarah asing seperti Seth Larney.

“Di antara Nasir dan Seth, saya yakin mereka ada kepakaran tersendiri. Sebagai pelakon, saya mahu berkongsi ilmu.

“Apa yang saya tahu mengenai Seth, dia ada pengalaman dalam pembikinan filem hebat Hollywood seperti Star Wars, The Matrix, Superman Returns, X-Men Origin, Fools Gold dan The Chronicles of Narnia.

“Seth juga mengarah drama dan pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik di Australia tahun lalu menerusi karya Hipsters arahannya.”

“Jadi, siapa yang tidak mahu bekerja dan mendapat bimbingan daripada pengarah berkaliber dan banyak pengalaman itu,” katanya.

Menurut Farid, tidak mudah untuk mendapat peluang seperti apa yang diperoleh sekarang. Justeru, baginya apabila sudah ada peluang dalam tangan, dia amat menghargainya.

Mengharapkan filem Tumbiruo: Penunggu Rimba dilakonkan itu diterima baik penonton dan berjaya di pawagam nanti, Farid berkata, dia akan berusaha memberi lakonan berkesan.

Bergandingan dengan barisan pelakon hebat tanah air seperti Nabila Huda, Faizal Hussein, Datuk M. Nasir dan Hasnul Rahmat, ia juga peluang menarik.

“Selain skrip, jalan cerita dan pengarah, barisan pelakon digandingkan juga antara komponen penting yang harus diambil kira.

“Saya seronok untuk bekerja menghasilkan filem ini kerana boleh dikatakan satu pasukan produksi mantap,” katanya.

Farid yang kini memberi tumpuan pada lakonan filem bakal muncul dengan dua karya besar iaitu J Revolusi dan Pinjamkan Hatiku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:04 AM