Siti A'isyah Sukaimi


Sepang: Seramai 442 jemaah haji Malaysia selamat tiba ke tanah air menerusi penerbangan pulang pertama jam 11.21 pagi hari ini.

Jemaah haji terbabit tiba dengan pesawat Saudi Arabia SV5644 dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Ketibaan jemaah terbabit disambut oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Badlisyah Abdul Ghani serta ahli keluarga masing-masing.

Jemaah haji, Dr Muhammad Syafiq Mohammad Isa, 27, berkata, dia bersyukur dapat menunaikan haji dalam usia muda selepas isteri, Dr Hanisah Jeffrey, 26, menerima panggilan pada tahun ini.

"Alhamdulillah, walaupun kita sedia maklum dengan cabaran sepanjang di Tanah Suci, saya serta isteri dapat menunaikan ibadat dan berdoa dikurniakan haji mabrur.

"Ini adalah rezeki daripada Allah yang 'memanggil' kami ke Tanah Suci menunaikan haji pada tahun ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Badlisyah berkata, seramai 12 jemaah haji Malaysia meninggal dunia dengan satu daripadanya di tanah air manakala, 11 lagi di Tanah Suci.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 1:28 PM
Sebahagian jemaah haji yang pulang hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor