BERNAMA

Johor Bahru: Polis menahan dua remaja lelaki dan sedang memburu dua yang lain kerana dipercayai merogol seorang pelajar tingkatan satu di sebuah pondok di kebun kelapa sawit, Kampung Manong, Ayer Hitam dekat Batu Pahat, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, dua remaja lelaki berumur 14 dan 15 tahun serta tinggal di kawasan Ayer Hitam dan Parit Raja, Batu Pahat, ditahan kira-kira 2 petang semalam di kawasan Ayer Hitam.

"Siasatan awal mendapati remaja perempuan berusia 13 tahun dan bersekolah di Parit Raja itu mengenali seorang daripada remaja lelaki terbabit menerusi WeChat sejak 8 September lalu," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Abdul Wahib berkata, kira-kira 9 malam, Khamis lalu, remaja perempuan itu memberitahu ibunya dia mahu keluar untuk belajar di rumah rakan di Parit Raja namun sebenarnya, dia sudah berjanji dengan seorang daripada remaja lelaki terbabit untuk keluar makan di sekitar Parit Raja.

Katanya remaja perempuan itu mengikut remaja lelaki terbabit menaiki motosikal ke pekan Ayer Hitam dan dia kemudian dibawa berjumpa tiga remaja lelaki lain sebelum semua mereka ke pondok berkenaan.

Menurut Abdul Wahib, remaja perempuan itu kemudian dirogol bergilir-gilir di pondok itu, namun dia dan semua empat remaja lelaki itu melarikan diri apabila penduduk kampung menyedari kejadian berkenaan.

"Mangsa (remaja perempuan) menyorok di belakang sebatang pokok manakala empat remaja lelaki melarikan diri dengan meninggalkan dua motosikal mereka.

"Penduduk kampung menghubungi bapa mangsa yang datang mengambil mangsa dan seterusnya membuat laporan polis di Balai Polis Ayer Hitam," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan polis giat mengesan dua lagi remaja lelaki yang dipercayai masih berada di sekitar Ayer Hitam bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 5:03 PM