Skip this ad x
Siti Rubiah Abu Siran bersama anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Haziq Norfaisal, 4, menyiram pusara suaminya Norfaisal Jahuri, 38, (gambar kecil) di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Tanjung, Umbai, Melaka. - Foto RASUL AZLI SAMAD
Mohd Hilmie Hussin


Jasin: Wartawan sambilan Harian Metro Melaka Mohd Norfaisal Jahuri, 38, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Tanjung, Umbai, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Kira-kira 200 saudara mara, sahabat handai dan kenalannya hadir pada pengkebumiannya.

Allahyarham yang berkhidmat dengan Harian Metro sejak 2001, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka jam 8.15 pagi tadi, akibat pendarahan dalam otak.

Norfaisal diserang angin ahmar kira-kira jam 6 pagi Khamis lalu, diberi rawatan segera di Hospital Melaka (HM) sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk khidmat pakar selepas tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, pada petang yang sama, Allahyarham dibawa pulang ke HM dan di tempatkan di wad ICU sebelum disahkan meninggal dunia pagi tadi.

Anak kedua daripada empat beradik itu, meninggalkan seorang isteri Siti Rubiah Abu Siran, 40, iaitu Penerbit Rancangan RTM Melaka, dan seorang anak lelaki Muhammad Rayyan Haziq, 4.

Adik bongsunya, Siti Nur'alia Jahuri, 29, berkata Norfaisal dikesan menghidap darah tinggi sejak lima tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2016 @ 7:20 PM