Skip this ad x
LEBIH 3,800 peserta menyertai acara Walk-A-Mile tahun ini yang menampilkan beberapa halangan di sepanjang laluan larian.
Nor Faizah Mohamed


Kurangnya aktiviti fizikal dan pengambilan makanan tidak seimbang menjadi antara faktor utama berlaku­nya pelbagai penyakit hingga memberi kesan bukan saja pada diri tetapi individu sekeliling.

Selain itu, kebanyakan wanita sering beranggapan penyakit lebih cenderung menyerang lelaki sedang­kan hakikatnya masalah penyakit seperti serangan jantung boleh berlaku pada sesiapa saja tanpa mengira jantina.

Wanita yang sudah menopaus turut mempunyai risiko sama tinggi dengan lelaki untuk mendapat serangan jantung.

Menjaga kesihatan jantung sebenarnya tidaklah sukar jika menjalankan gaya hidup sihat.

Gaya hidup sihat ini bukan saja akan meningkatkan kualiti kehidupan malah mengurangkan risiko diserang penyakit ini.

Satu cara paling mudah dan efektif untuk menjaga kesihatan adalah dengan berjalan selama 15 minit setiap hari.

Biarpun mudah dilakukan dan kelihatan santai, berjalan dapat me­ngurangkan risiko penyakit jantung selain menurunkan kadar kolesterol yang tinggi, kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Kandungan kolesterol yang tinggi satu daripada faktor utama risiko menyumbang kepada penyakit jantung.

Sebarang bentuk aktiviti fizikal yang menggerakkan anggota badan dan membuatkan jantung berdegup 15 minit sehari mampu melindungi dan meningkatkan kesihatan jantung.

Ramai dalam kalangan kita menunggu hingga saat terakhir untuk menguruskan kesihatan jantung kerana dilihat sebagai masalah orang tua.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan sebaliknya apabila didapati seorang daripada empat pesakit jantung adalah individu yang berusia bawah 50 tahun.

Justeru, Walk-A-Mile dianjurkan Nestle Omega Plus saban tahun sebagai salah satu usaha menggalakkan rakyat Malaysia menjaga kesihatan jantung dengan bersenam cara mudah.

Acara tahunan dengan kerjasama Yayasan Jantung Malaysia (YJM) ini diadakan di Taman Tasik Perdana pada 3 September lalu dengan menyaksikan lebih 3,800 rakyat Malaysia menempuhi perjalanan sejauh sebatu yang seiring dengan sambutan besar-besaran Bulan Jantung Sedunia.

“Sebagai pejuang dan penyokong kepada kesihatan jantung di Malaysia, kami percaya semuanya terletak di tangan individu itu sendiri.

“Penyakit jantung bukanlah berlaku dalam tempoh semalaman tetapi ramai yang tidak peduli mengenainya meskipun selepas bertahun-tahun hidup dalam risiko mengalaminya.

“Selain itu, tidak ramai yang tahu bahawa berjalan pantas selama 15 minit sehari dapat mengurangkan risiko kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Justeru, acara Walk-A-Mile ini dianjurkan sebagai inisiatif menggerakkan rakyat Malaysia berjalan selama 15 minit atau sejauh sebatu agar dapat memperbaiki aspek kesihatan mereka,” ujar Pengarah Eksekutif Pemasaran, Nestle (Malaysia) Berhad, Chew Soi Ping.

Menariknya, acara Walk-A-Mile tahun ini menampilkan beberapa halangan di sepanjang larian, selain mengadakan pemeriksaan kesihatan dan cabutan bertuah.

Chew juga menyerahkan sumbangan RM30,000 kepada YJM sebagai sokongan kepada usaha dan dedikasi berpanjangan YJM terhadap pendidikan kesihatan jantung kepada umum.

Golongan muda makin berisiko

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015 yang dijalankan Kementerian Kesihatan menunjukkan golongan dewasa Malaysia berusia 18 tahun ke atas mempunyai kadar kolesterol yang tinggi - peningkatan mendadak dan membimbangkan berbanding hanya 32.6 peratus pada 2014.

“Kita tidak boleh menidakkan kenyataan ini lebih lama kerana bilangan rakyat Malaysia yang terdedah kepada penyakit jantung pada usia muda semakin meningkat.

“Keadaan lebih buruk apabila kurangnya aktiviti senaman, tidak mengamalkan pemakanan sihat dan pengaruh daripada faktor lain seperti merokok,” jelas Presiden Yayasan Jantung Malaysia, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Tun Ahmad juga menegaskan bahawa ia tidak memerlukan langkah atau belanja besar ke arah pengurusan kesihatan jantung yang baik.

“Kita hanya perlukan perubahan minda dan hati dalam kalangan rakyat Malaysia. Salah satu kebimba­ngan paling ialah kesedaran yang amat tipis mengenai cara pengurusan kesihatan jantung secara holistik.

“Faktor holistik ini merangkumi aktiviti fizikal harian, temujanji bersama doktor untuk pemeriksaan kesihatan yang kerap dan amalan diet yang seimbang,” katanya.

Dalam masa sama, salah satu cara mengurangkan risiko penyakit jantung adalah dengan pengurusan tahap kolesterol dan menambahkan sterol tumbuhan ke dalam diet.

Jumlah minimum sterol tumbuhan boleh didapati dalam bijirin, sayuran, buah-buahan dan kekacang. Pengambilan sejumlah besar bahan makanan itu bagi mencapai 1.2 gram sterol dalam sehari amat disyorkannya untuk mengelakkan kesan negatif kolesterol pada tubuh.

Pengambilan susu seperti Nestle Omega Plus menjadikannya proses amalan diet lebih mudah kerana hanya dua hidangan susunya bersamaan dengan jumlah sterol tumbuhan yang terkandung dalam 255 tomato atau 126 lobak merah.

Untuk maklumat lanjut tentang Nestle Omega Plus dan aktiviti yang dijalankan YJM, boleh layari www.facebook.com/NestleOmegaPlus atau www.yjm.org.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:00 AM