SEBAHAGIAN aktivis menyalakan lilin tanda simpati pada mangsa yang ditembak mati dalam proses perangi dadah.
SEBAHAGIAN aktivis menyalakan lilin tanda simpati pada mangsa yang ditembak mati dalam proses perangi dadah.
Munira Yusoff

Presiden Filipina, Roberto Duterte kerap dilaporkan media dunia kerana kata-kata dan perbuatannya sejak beberapa minggu lalu yang berkait dengan cara ganasnya memerangi dadah dengan menembak mati suspek. Malah, keceluparannya membuatkan ramai secara menyamakannya dengan calon presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Tidak dinafikan, sekilas pandang nampak persamaan, terutama mulut yang kadangkala seperti tidak berakal ketika bersuara. Terbaru, Duterte menggelar Presiden Barack Obama ‘anak pelacur’ malah turut memaki Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-Moon mempersoalkan kaedahnya memerangi dadah.

Namun tidak dapat disangkal Duterte pilihan rakyatnya kerana dilihat berani - hasilnya, kejayaannya menurunkan jenayah ketika menjadi datuk bandar Davao, sekalipun benar dia melantik Skuad Pembunuh untuk melaksanakan ‘keadilan’ seperti dikatakan pembunuh upahan yang juga bekas ahli kumpulan berkenaan di depan Senat, baru-baru ini.

Duterte memang ‘gengster’ - itu gambaran pertama diberikannya. Bukannya menyokong perbuatannya - jauh sama sekali tidak kerana negara kita berpegang pada perlembagaan dan perundangan tegas yang mewajibkan semua hukuman melalui proses mahkamah seadilnya.

Tetapi mengambil kira ‘wabak’ dadah di Filipina yang teruk, lebih diburukkan lagi dengan kemiskinannya, mahu atau tidak kita faham sudut pandangannya yang membuatnya sanggup mengambil tindakan drastik untuk melawan penyakit masyarakat itu.

Dalam pada masyarakat dunia dan PBB mengecamnya - lebih 1,500 orang mati ditembak kerana disyaki penjenayah dadah sejak dia menjadi presiden - Pengarah Badan Antidadah Kebangsaan Indonesia Budi Waseso menyuarakan minat melaksanakan kempen seperti itu untuk mengawal masalah dadah yang juga sama besarnya di Indonesia.

Duterte memang menggunakan kaedah samseng dan tidak takut bila perbuatannya disoal. Siapa lagi berani memaki presiden AS secara terbuka sepertinya? Tambahan pula caranya yang kasar sebenarnya juga cara rakyat biasa yang mendekatkannya kepada golongan bawahan.

Bukannya mengiyakan cara dan perbuatannya. Sejujurnya, memang agak kurang bertamadun. Tetapi pada rakyatnya, mungkin masalah dadah berleluasa sehingga tidak mampu ditangani dengan cara lain.

Suka atau benci pada Duterte, setuju atau tidak dengan caranya, hakikatnya pendekatan ala samsengnya mengurangkan kadar jenayah di Davao selepas dia menjadi datuk bandar. Dan mungkin itu sebenarnya yang dikehendaki serta diperlukan rakyatnya.

Penulis Penolong Pengarang Global Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:13 AM