SYARAFUDDIN ketika bertubuh kurus.
SYARAFUDDIN ketika bertubuh kurus.
KERAP menjalani latihan kecergasan di pusat gimnasium.
KERAP menjalani latihan kecergasan di pusat gimnasium.
AKTIF menyertai pertandingan badan cantik.
AKTIF menyertai pertandingan badan cantik.
SYARAFUDDIN bersama teman rapat yang sentiasa memberinya sokongan.
SYARAFUDDIN bersama teman rapat yang sentiasa memberinya sokongan.
Redzuan Muharam


Ketika di bangku sekolah, Mohd Syarafuddin Mohd Shaukhi, 20, seorang yang bertubuh kurus dengan berat badan 45 kilogram (kg) saja.

Kini, penuntut Diploma Pengajian Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Perlis bukan saja memiliki berat badan ideal malah boleh tergolong dalam kategori ‘abang sado’ sejak aktif menjalani latihan kecergasan di pusat gimnasium.

Tubuh sasa yang dimiliki anak kelahiran Kangar, Perlis itu juga memberi keyakinan untuknya mengambil bahagian dalam pertandingan badan cantik, antara sukan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.

“Dulu, badan saya terlalu kurus dan ia membuatkan rasa tidak selesa selain kurang keyakinan diri.

“Selepas tamat persekolahan, saya nekad mengubah penampilan diri dengan sering berkunjung ke pusat gimnasium rakyat untuk melakukan latihan kecergasan.

“Namun, ia tidak semudah disangka kerana ‘pantang larang’ terutama dalam soal pengambilan makanan dan saya sendiri mengambil masa lebih setahun untuk mendapat bentuk badan yang diinginkan,” katanya.

Bercerita lanjut, anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, selain bersenam dan melakukan latihan kecergasan di pusat gimnasium, dia turut mengamalkan diet sihat sebagai persiapan sebelum menyertai mana-mana pertandingan.

Katanya, rutin diet pemakanan itu diamalkan antara 15 hingga 20 hari sebelum terbabit dalam pertandingan.

“Saya memang seorang yang menjaga pemakanan dan lebih menitikberatkan soal itu menjelang tibanya hari pertandingan.

“Selalunya, saya akan mengelak pengambilan makanan berlemak dan nasi dimasak menggunakan beras perang.

“Gula pula diganti dengan pemanis stevia manakala sumber protein diperoleh daripada ayam bakar atau rebus,” katanya yang baru selesai menjalani latihan industri pada 28 Ogos lalu.

Pemenang tempat ketiga Pertandingan Mr Smart dan keempat bagi Mr Fit Malaysia Fest Perlis itu berkata, pembabitan aktif dalam sukan bina badan bukan alasan untuknya mengabaikan pelajaran.

Malah, dia mengakui mahu menyambung pelajaran ke peringkat ijazah jika mendapat tawaran yang bersesuaian.

“Saya seronok menyertai sukan ini malah mahu terus mengambil bahagian jika ada pertandingan seumpamanya pada masa akan datang.

“Tetapi pelajaran tetap keutamaan kerana ia jaminan masa depan dan kalau boleh saya mahu menyeimbangkan kedua-duanya sebaik mungkin.

“Kini, saya baru selesai pengajian peringkat diploma dan mahu menyambung ijazah pula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 7:51 AM