Yasmin (dua dari kanan) pada sidang media BIGIT Technology Malaysia 2016 bersempena Minggu Data Besar Asia 2016, semalam.
Sofyan Rizal Ishak


Kuala Lumpur: Malaysia kini mencapai kemajuan kukuh dalam menjadi hab penyedia penyelesaian Analisis Data Besar (BDA) apabila negara menarik pelaburan asing daripada 22 syarikat BDA multinasional dari enam negara untuk berpangkalan di Malaysia seperti IHS Markit dan SiteCore selain syarikat tempatan iaitu Fusionex dan Data Micron sehingga Ogos lalu.

Sebanyak 32 syarikat BDA tempatan pula mengeksport penyelesaian dan perkhidmatan ke luar negara serta 47 syarikat BDA pemula yang terus melaksanakan inovasi dan ujian teknologi, sekaligus membolehkan BDA memainkan peranan penting dalam membantu negara dengan mewujudkan ekonomi berpendapatan tinggi pada masa depan.

Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDeC), Datuk Yasmin Mahmood berkata, pihaknya melihat BDA sebagai cara baru untuk memacu perniagaan yang berdaya saing melalui kewujudan penyelesaian nilai perniagaan baru, menggalakkan inovasi signifikan dan kemajuan yang merentasi pelbagai industri.

“Untuk mencapai pelaksanaan BDA, kami akan terus menjalinkan kerjasama dengan pihak industri untuk mewujudkan persekitaran kondusif bagi menghasilkan bakat mencukupi apabila kami jangka negara memerlukan 2,000 pakar sains data iaitu peringkat tertinggi dalam ekosistem keseluruhan menjelang 2020 yang akan disokong 16,000 profesional data,” katanya pada sidang media BIGIT Technology Malaysia 2016 bersempena Minggu Data Besar Asia 2016 di sini, semalam.

BIGIT Technology Malaysia 2016 adalah acara utama bagi Minggu Data Besar Asia 2016 yang berlangsung pada 19 hingga 20 September 2016 apabila ia sebahagian daripada usaha MDeC menjadi pemangkin kepada ekosistem inovasi digital dalam mengembangkan peluang dalam bidang BDA.

Beliau berkata, fokus baru MDeC bukan sahaja terarah kepada pertumbuhan Ekonomi Digital namun meningkatkan pelaksanaan digital bagi daya saing kerana keperluan untuk memastikan penggunaan lebih mudah dan lancar adalah penting terutamanya dalam permainan perubahan teknologi seperti BDA.

BDA adalah proses memeriksa set data yang besar untuk mendedahkan corak tersembunyi, korelasi tidak diketahui, trend pasaran, keutamaan pelanggan dan maklumat perniagaan yang berguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 6:11 AM